Aktor serba boleh Bell Ngasri menjadi sebutan dan popular ketika Ramadan menerusi filem Puasa 16. Foto Bell Ngasri
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Pelakon Bell Ngasri ‘ponteng puasa’ tapi beraya di Makkah

Bell Ngasri dikenali sejak usia kanak-kanak lagi khususnya dalam kalangan peminat drama Melayu. Sejak 1995, pelakon berbakat itu menjayakan pelbagai watak di layar pawagam dan kaca televisyen.

Namanya kian menjadi sebutan apabila terbabit dalam pentas lawak. Kemudian wataknya sebagai Barkoba dalam filem dan siri drama komedi Kampong Pisang menaikkan lagi reputasinya hingga ungkapan dialog menjadi ikutan ramai.

Wartawan Norrasyidah Arshad menyingkap sisi peribadi Bell Ngasri dan persiapannya berpuasa dan menyambut Aidilfitri di Makkah menerusi temu bual pada 31 Mac.

 

Watak Barkoba lakonan aktor serba boleh Bell Ngasri pasti menjadi sebutan dan popular ketika Ramadan.

Watak itu dijelmakan pengarah terkemuka Allahyarham Mamat Khalid pada 2017 menerusi filem Puasa 16, sekali gus menjadikan Bell sebagai ikon ‘geng plastik hitam’ – panggilan untuk kumpulan individu yang tidak berpuasa.

Bermula daripada filem yang ditayangkan di Astro First itu, Barkoba terus terkenal apalagi cerita berkenaan mempunyai sekuel tersendiri dengan terbitnya Puasa 17 dan Puasa 18 yang disiarkan pada tahun – tahun berikutnya.

Malah sehingga hari ini, anggota masyarakat pada setiap lapisan umur termasuk kanak-kanak lebih mengenali Bell dengan watak itu beserta ungkapan ‘yak yak yeah’.

Bell atau nama sebenar Nasrizal Ngasri mengakui watak berkenaan mempengaruhi pandangan orang ramai terhadap dirinya meski ia sekadar lakonan.

Berpuasa di Tanah Suci

Namun Bell, 41, tidak menghiraukan pandangan tersebut. Sebaliknya anak kelahiran Petaling Jaya itu sebenarnya tidak culas menunaikan rukun Islam ketiga.

Tahun ini bagaikan magis buatnya. Pelakon watak Barkoba yang tidak berpuasa ketika Ramadan, menyambut Aidilfitri di Tanah Haram sambil menunaikan umrah. Bell berangkat ke Makkah pada 20 April lalu. Umrah kedua selepas kali pertama menunaikannya pada 2008.

Bell Ngasri bergambar kenangan ketika mengerjakan ibadah umrah. Foto Bell Ngasri

“Harapnya lepas ini tidak ada anggap saya tidak berpuasa. Itu hanya lakonan untuk menghidupkan watak Barkoba.

“Tidak sabar rasanya hendak berpuasa dan sambut raya di Makkah. Raya pertama hingga kedua saya di sana. Ini pengalaman baharu dan harap semuanya dipermudahkan.

“Saya pergi bersama Faizal Ismail (bekas penyampai radio). Sebelum ini memang doa hendak jejakkan kaki ke sana lagi tapi sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) terpaksa tangguh. Tidak sangka doa termakbul ketika Ramadan dan dapat sambut raya sekali,” katanya kepada Selangorkini sebelum berlepas ke Arab Saudi.

Bell pernah memaklumkan watak Barkoba lakonannya menjadi bahan sendaan rakan sekolah anak-anaknya kerana malas berpuasa. Bagaimanapun anak-anak faham akan kerjaya bapa mereka sebagai pelakon dan tidak mengambil serius perkara berkenaan.

Watak istimewa

Anak kepada pasangan selebriti, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar menganggap watak Barkoba begitu istimewa dan membawa tuah hingga memberi pengaruh besar dalam kehidupan dan kerjaya seninya.

Keyakinan dan harapan Mamat untuk beliau membawa watak berkenaan sangat dihargai kerana daripada situ beliau dilihat lebih menyerlah.

Bell sendiri tidak menyangka Mamat terus menyerap watak berkenaan ke dalam filem dan siri drama Kampong Pisang.

Sehingga kini, bapa kepada tiga anak itu begitu terkesan dengan pemergian Mamat pada 24 Oktober tahun lalu akibat serangan jantung selepas pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak.

Mengikut perancangan, Bell menjelaskan Mamat yang dianggap sebagai keluarganya sendiri sepatutnya mengarahkan sambungan kisah Kampong Pisang untuk tayangan pada Ramadan lepas.

“Mamat pernah beritahu, tahun ini hendak keluarkan sambungan 18 Puasa, filem 19 Puasa. Penggambaran filem itu dirancang sekali dengan Kampong Pisang Berbuah Dua kali.

“Tetapi semua tidak kesampaian. Hanya Kampong Pisang (Berbuah Dua Kali) sahaja siap. Itu hasil garapan anaknya, Amin. Lepas Mamat meninggal dunia, banyak perancangan tergendala. Kita serahkan kepada anaknya Amin sekiranya mahu meneruskan penggambaran itu,” katanya.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang ditayangkan tahun lalu mencatat kutipan pecah panggung dan ditayangkan selama 10 hari di Astro First. Filem berkenaan meraih kutipan langganan sebanyak RM3 juta. Sambutan memberangsangkan menyebabkan karya komedi itu mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris di Astro First bagi 2021.

Naskhah berkenaan yang menampilkan Aziz M Osman, Kazar Saisi, Namron, Mat London dan Jaafar Onn itu turut menggambarkan babak dalam neraka untuk menunjukkan hukuman ke atas Barkoba. Bagaimanapun, babak itu mendapat kecaman segelintir penonton kerana melibatkan sensitiviti agama Islam.

Keluarga seni

Umum mengetahui Bell memulakan kerjaya lakonan sebagai pelakon kanak-kanak bersama adiknya iaitu Darling Ngasri dan Anne Ngasri.

Bell Ngasri ketika membawa watak Barkoba dalam filem Puasa 16. Foto Bell Ngasri

Sejak kecil kelibatnya sering dibayangi Darling dan Anne yang sama-sama menghias kaca televisyen sewaktu masa dahulu. Bakat tiga beradik ini selalu mendapat perhatian penerbit dan pengarah malah kadang kala mereka turut digandingkan bersama.

Bagaimanapun selepas menginjak dewasa, kelibat Anne, 37, serta Darling, 38, semakin berkurangan.

“Anne dan Darling masih aktif. Cuma banyak terlibat kerja belakang tabir. Bukan tidak mahu berlakon tetapi jarang-jarang.

“Sama seperti saya sendiri. Selagi diperlukan saya tetap berlakon. Bila sudah tidak laku mungkin aktif di belakang sahaja,” katanya.

Bell juga memiliki abang yang dahulu aktif sebagai pelakon. Namun ketika ini Naszeli Ngasri, 48, hanya bergiat aktif di belakang tabir sebagai penerbit.

Bell yang dahulunya kerap memegang watak serius terus mengembangkan kebolehan dan bakatnya dalam program Maharaja Lawak Mega 2021.

Perjuangannya bersama Kumpulan Tobat sehingga ke pentas akhir bersama pelawak Mohd Hanaffi Razak (Ajak Shiro) dan Zahid Tajuddin (Ropie Cecupak) dianggap membanggakan selepas lapan kali mencuba nasib dalam program itu.

Menerusi rancangan berkenaan, kewibawaan Bell sebagai pelakon serba boleh tidak dapat dipertikaikan lagi.

Bukan hanya berlakon dan melawak, Bell juga kerap mendapat tawaran sebagai pengacara dalam program berkonsep santai.

Sempena Aidilfitri kali ini, Bell bercadang menyambut raya di Johor sekembalinya menunai umrah.

“Raya ini ada juga terima tawaran dalam tiga program secara langsung untuk hiburkan peminat. Sambutan raya sederhana sahaja, cuma kali ini berbeza sebab sambut di Makkah. Teruja hendak rasa pengalaman pertama ini,” katanya.

 

*Foto Instagram Bell Ngasri Official


Pengarang :