Shuib bersama keluarga menziarahi pusara Allahyarham Siti Sarah Raisuddin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak. Foto Instagram shuibsepahtu
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Pelawak Shuib hiba Syawal tanpa Siti Sarah

Ramai rakyat Malaysia sugul tatkala menerima khabar pemergian penyanyi Siti Sarah Raisuddin pada 9 Ogos tahun lalu. Sarah yang mengandung tujuh bulan disahkan dijangkiti Covid-19.

Rasa sebak menyelubungi apabila melihat Shuib teresak-esak memohon agar orang ramai mendoakan keselamatan isterinya, beberapa hari sebelum penyanyi itu mengadap Ilahi buat selama-lamanya.

Wartawan Intan Syuhada Akhir berkongsi kisah pelawak sohor itu yang menyambut lebaran pertama tanpa isteri tercinta di sisi dalam temu bual eksklusif di Kuala Lumpur pada 20 April.

“Sudah empat tahun berturut-turut saya dan Siti Sarah ke sini untuk berbuka puasa. Tahun ini saya sendiri. Waktu sampai tadi, teringat pula dekat dia.” Demikian ayat pertama usahawan dan pelawak, Shuib semasa ditemui di sebuah hotel di Bukit Bintang di ibu negara.

Pemilik nama sebenar Shahmira Muhamad lengkap berpakaian baju Melayu berwana hijau ketika itu rupanya baharu pulang menziarahi pusara isteri Allahyarham Siti Sarah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Namun, beliau dengan linangan air mata tidak keberatan menceritakan persiapan menyambut lebaran. Shuib merancang untuk membawa anak-anaknya pulang ke kampung halamannya di Bagan Serai, Perak.

Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9 dan Ariq Matin, 7, menziarahi pusara ibu mereka Allahyarham Siti Sarah Raisuddin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak. Foto Instagram shuibsepahtu

“Persiapan raya belum ada tapi memang saya akan buat demi anak-anak. Mereka sangat teruja mahu beraya tahun ini dan masing-masing pula puasa penuh. Jadi tidak adil jika asyik melayan perasaan sedih saya sendiri. Mereka ingin beraya, jadi saya kena raikan mereka.

“Jujurnya, anak-anak saya tidak kisah sangat tentang baju. Mereka lebih teruja untuk menikmati suasana hari raya di kampung. Jadi saya akan bawa mereka pulang hari raya nanti,” katanya kepada Selangorkini.

Segar lagi dalam memori Shuib menyambut 1 Syawal pertama kali bersama Siti Sarah. Ketika itu, mereka serba kekurangan namun ia kenangan paling indah yang tidak dapat dilupakan.

Pelawak itu bersama Siti Sarah terpaksa berkira-kira dalam berbelanja terutamanya bagi menyediakan pakaian, kuih dan duit raya untuk kanak-kanak yang bertandang ke rumah.

“Raya yang paling diingati apabila bersama arwah ketika mengalami fasa susah suatu ketika dahulu. Kami pernah beraya dalam keadaan ekonomi saya yang tidak baik.

“Walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan perlu berhati-hati ketika berbelanja, iaitu terpaksa buat kira-kira terutama untuk beli pakaian, kuih raya dan duit raya, tetapi arwah tidak kesah,” katanya.

Anak sumber kekuatan

Shuib dan Siti Sarah dikurniakan empat cahaya mata sepanjang perkahwinan mereka. Mereka ialah Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan, 1, yang dilahirkan ketika penyanyi itu ditidurkan akibat Covid-19.

Pernah beberapa kali Shuib berasa patah semangat. Namun, anak-anak menjadi sumber kekuatan buatnya.

“Sebenarnya, saya sendiri tidak kuat. Ada masa saya okay dan adakalanya sayalah manusia paling tidak kuat kalau hendak dibandingkan dengan anak saya. Mereka boleh berbual tentang ibu secara terbuka.

“Saya percaya Allah itu Maha Baik dan cuma waktu akan mengubati segalanya. Saya percaya ada banyak benda baik akan menanti.

“Tak payah tengok terlalu jauh, sekarang ini pun saya bersyukur sangat diberikan anak-anak yang luar biasa hebat. Saya bersyukur kerana masih hidup dan dapat tengok anak-anak membesar,” luahnya.

Sejak ketiadaan isteri, rutin Shuib ke kubur Siti Sarah. Di sana dia meluahkan perasaan, membersihkan kuburnya. Baginya, itu cara paling dekat untuk Shuib ‘menyentuh’ isterinya selain berdoa.

“Secara jujur, kadang-kadang saya tak ada orang untuk berbual. Jadi bila pergi ke kubur, saya akan meluahkan segala-galanya kepada arwah. Walaupun sudah sembilan bulan dia menghadap Ilahi, tapi saya merasakan Siti Sarah selalu ada dengan saya.

“Kadangkala saya teringat arwah pukul dua atau tiga pagi dan pernah terfikir untuk ke kuburnya kerana terlalu rindu,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan penyanyi lagu Kesetiaan itu pada 2011.

Perginya Siti Sarah

Ramai yang terkesan dengan berita Siti Sarah meninggal dunia. Bahkan, rakan media dan peminat merasakan ketiadaan pelantun lagu Semakin itu.

Pemergian beliau juga membuka pelbagai kisah kebaikan ketika hayatnya terutama amalan bersedekah. Beberapa wartawan dan pengarang meja hiburan yang berdepan isu kewangan akibat hilang kerja antara yang dibantu Siti Sarah.

Shuib membawa Ayash Affan yang berumur setahun menziarahi pusara ibunya Allahyarham Siti Sarah Raisuddin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak. Foto Instagram shuibsepahtu

Kisah Siti Sarah mendapat liputan media antarabangsa. Malah, Imam Besar Masjidil Haram dengan jemaah seramai 300 orang turut melakukan solat jenazah ghaib ketika itu.

Sebelum itu, doktor memaklumkan Siti Sarah yang belum menerima vaksin dijangkiti Covid-19. Virus itu dikesan merebak hampir seluruh paru-parunya menyebabkan oksigen tidak dapat diproses dan badannya tidak berfungsi dengan baik.

Siti Sarah kemudian ditidurkan dan anak mereka, Ayash Affan dilahirkan melalui kaedah pembedahan secara pramatang.

Paras bacaan oksigen Siti Sarah menurun sehingga 40 peratus. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Cheras tanpa berkesempatan memegang dan menatap wajah anaknya yang baharu dilahirkan.

Shuib juga pernah merakamkan perbualan terakhirnya bersama-sama Siti Sarah sebelum ditidurkan.

“Awak jangan nangis, jangan sedih. Ampunkan dosa-dosa saya,” demikian kata-kata terakhir Siti Sarah kepada Shuib dengan nada sebak.

Rakaman perbualan itu kemudian diselit dalam video muzik bertajuk Tinggalkan Diriku nyanyian Siti Sarah yang dimuat naik ke YouTube, November tahun lalu.

Siti Sarah pernah menyanyikan semula lagu yang diterbitkan pada 2003 itu semasa sesi latihan untuk pertunjukan pada 2018, sekali gus menjadi persembahannya yang terakhir sebelum meninggal dunia.

Berat badan susut

Banyak yang berubah sejak Siti Sarah tiada. Shuib hilang selera makan menyebabkan berat badannya turun daripada 68 kilogram (kg) kepada 59 kg.

“Saya mempunyai masalah selera makan yang teruk. Kalau tengok video saya di Instagram, berat badan sudah semakin susut. Tak tahu kenapa.

Mungkin dahulu semasa arwah hidup, kami rajin cari makanan sedap bersama-sama. Sekarang kalau makan di kedai kegemaran kami pun, saya rasa macam ada yang hilang. Macam tidak lengkap.

“Baru-baru ini, ibu ada bawakan lauk pajeri nenas yang memang merupakan makanan kesukaan arwah. Saya tidak boleh makan lauk itu sebab terkenangkan arwah.”

Bukan itu sahaja, Shuib berkongsi kenangan arwah Siti Sarah yang rajin mengundang tetamu dan rakan untuk berbuka puasa bersama-sama di tingkat atas rumahnya.

“Di tingkat atas rumah, memang kami berbuka puasa bersama-sama. Arwah rajin anjurkan aktiviti berbuka puasa dan ajak kawan-kawan datang sekali. Saya anak tunggal dilahirkan dalam keluarga yang kecil. Waktu bujang dahulu pun, puasa dan sahur bukanlah sesuatu yang menarik sebab saya hanya lakukan seorang diri.

“Bila kahwin dengan Siti Sarah, dialah yang tunjuk dan ajar saya perasaan seronok berbuka ramai-ramai. Bayangkan, berbuka puasa sudah macam kenduri,” ceritanya.

Namun, Shuib bersyukur kerana Ramadan tahun ini tetap bermakna dengan kehadiran anak-anak yang sangat mudah diuruskan. Tidak banyak ragam dan mendengar cakap.

“Saya tidak pernah sangka hubungan saya dan anak-anak akan jadi serapat ini. Mereka tidak boleh tidur kalau tidak ada saya. Kalau keluar lama sikit mereka akan telefon menangis suruh balik. Mereka sangat mudah diuruskan.

“Kalau minta tolong kemas rumah, mereka tak pernah bantah. Tidak payah suruh solat, mereka akan solat sendiri. Mereka anak soleh dan solehah,” kata Shuib tersenyum.


Pengarang :