Foto Twitter Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Pemain Piala Presiden Selangor FC meninggal dunia, MB ucap takziah

SHAH ALAM, 26 MEI: Pemain posisi penyerang Skuad Piala Presiden Selangor FC 2022 Muhammad Husni Idrus meninggal dunia malam tadi.

Perkara itu dikongsikan Facebook Selangor FC yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga pemain berkenaan dan mendoakan Allahyarham.

Kelab bola sepak negeri itu juga meminta semua pihak menjaga adab dan privasi berhubung kematian Muhammad Husni bagi mengormati keluarganya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan berasingan memaklumkan pemain berusia 21 tahun itu sempat beraksi dalam perlawanan Piala Presiden menentang JDT III petang semalam sebelum kejadian.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan sepasukan serta warga Selangor FC atas pemergian Muhammad Husni.

Jelas Amirudin, Allahyarham merupakan warga Kampung Sungai Kertas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, yang merupakan kawasan kendaliannya.

“Semoga roh Allahyarham Muhammad Husni dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Menurut laporan Berita RTM, pemain itu rebah di sebuah restoran, sebelum dikejarkan ke hospital.


Pengarang :