Calon Timbalan Presiden KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution berucap dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Melawati, Kuala Selangor pada 15 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemilihan KEADILAN: Saifuddin ingatkan ahli pelihara semangat setiakawan

KUALA SELANGOR, 15 MEI: Calon timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyeru semua anggota parti agar sentiasa memelihara perpaduan sepanjang proses pemilihan parti

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan persengketaan harus dielak manakala hubungan silaturahim perlu dieratkan kerana KEADILAN adalah parti milik semua.

“Tolong jaga parti, jaga perpaduan. Jangan rungkai kasih-sayang dan leburkan silaturahim.

“Ini kerana kita semua sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban, Kadazan adalah milik KEADILAN,” katanya dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di sini hari ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkefli.

Saifuddin berdepan saingan Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan nombor dua parti.
Amirudin pula bertanding jawatan naib presiden manakala Juwairiya bersaing sebagai calon timbalan ketua wanita

Dalam program di DUN Permatang pula, Saifuddin yang juga ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu menasihati supaya bersaing secara sihat dan mengekalkan semangat setiakawan.

“Musim ini pemilihan parti, tidak sama dengan pilihan raya umum (PRU). PRU parti-parti bertanding untuk tawar diri jadi kerajaan, jika menang mereka dapat laksanakan apa yang digariskan dalam perjuangan parti.

“Oleh sebab itu, saya mohon jangan cederakan setiakawan sebab selesai sahaja pemilihan pada 22 Mei, kita akan fokus pula kepada gerak kerja PRU,” katanya.

Pengundian bermula di Kelantan dan Terengganu pada 12 Mei diikuti Pahang dan Wilayah Persekutuan pada keesokannya.

Pemilihan di Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan dijalankan pada 16 Mei manakala Selangor pada 21 Mei diikuti Perak, Sabah dan Sarawak keesokannya.

Undian dalam talian dijalankan antara 18 hingga 20 Mei melalui aplikasi Adil manakala pengundian dalam talian bagi ahli di luar negara diadakan pada 17 Mei.


Pengarang :