Peserta membuat pendaftaran sebelum menjalani Ujian PCR Virus Papiloma Manusia (HPV) Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Pemohon Selangor Saring perlu kemas kini aplikasi SELangkah untuk mendaftar

SHAH ALAM, 16 MEI: Warga Selangor diminta mengemaskini aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi mendaftar program Selangor Saring.

SELangkah memaklumkan pendaftaran bagi program itu mula dibuka hari ini dan ia hanya boleh dilakukan menerusi aplikasi berkenaan serta portal selangorsaring.selangkah.my

“Kemaskini aplikasi SELangkah dan tekan klik Selangor Saring atau pautan selangorsaring.selangkah.my untuk maklumat lanjut,” katanya di Facebook.

Berdasarkan semakan pada ruangan Selangor Saring di aplikasi terbabit, antara maklumat yang perlu dikemukakan dalam permohonan adalah nama dan alamat kediaman pemohon.

Pemohon juga dikehendaki menjawab beberapa soalan mengenai tahap kesihatan termasuk sejarah penyakit yang dialami oleh ahli keluarga.

“Orang ramai juga perlu memuat naik gambar MyKad dan pemohon sendiri untuk mendapatkan pengesahan.

“Apabila pengesahan diterima pemohon akan diberikan kupon secara dalam talian, seterusnya boleh memilih tarikh dan lokasi untuk menjalani saringan,” katanya.

Antara syarat kelayakan permohonan adalah warganegara Malaysia, pemilih berdaftar di Selangor dan dilahirkan di Selangor atau telah bermastautin di Selangor selama lebih 10 tahun.

Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM3.4 juta bagi melaksanakan Program Selangor Saring, iaitu saringan kesihatan percuma kepada rakyat negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program ini dijangka memberi manfaat kepada 39,000 rakyat Selangor terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :