AGENDA NASIONAL

Pemuda maut, kereta dipandu terbabas langgar besi penghadang jalan

PUTRAJAYA, 28 MEI: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya melanggar besi penghadang jalan di KM 37.9 Persiaran Utama menghala ke Puchong di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehwan Mohammad berkata dalam kejadian pukul 6 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun berkenaan memandu kereta Proton Gen-2 dari arah Cyberjaya menuju ke rumahnya di Puchong, apabila dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar besi penghadang jalan itu.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. (Mayat) mangsa yang tersepit itu dibawa keluar dengan bantuan pihak bomba dan dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 7 pagi.

– BERNAMA


Pengarang :