Atlet wushu negara Tan Zhi Yan (kiri) bersama Clement Ting Su Wei masing-masing berjaya menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara selepas cemerlang beraksi dalam acara akhir Taijiquan dan Changquan Lelaki pada Sukan SEA ke-31 di Cau Giay Gymnasium, Hanoi pada 13 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Penantian dua tahun Zhi Yan berbaloi, tuai emas taijiquan

HANOI, 13 MEI: Penantian dua tahun untuk beraksi dalam pertandingan antarabangsa, telah membuahkan kilauan emas untuk atlet wushu negara Tan Zhi Yan pada Sukan SEA ke-31 di sini.

Kali terakhir pemuda berusia 22 tahun dari Batu Berendam itu beraksi dalam kejohanan antarabangsa ialah di Kejohanan Taijiquan Dunia 2018 di Burgars, Bulgaria yang menyaksikan beliau merangkul tiga pingat emas.

Perkembangan kerjaya Zhi Yan bagaimanapun terhenti sementara sejak awal 2020 berikutan pandemik Covid-19, yang turut menunda penampilan sulungnya di Sukan SEA di Hanoi selama enam bulan.

Namun, tempoh penantian itu terbukti telah dimanfaatkan beliau sebaiknya apabila mempamerkan persembahan cemerlang untuk muncul juara dalam taijiquan lelaki dengan catatan 9.71 mata.

Kejayaan itu turut memastikan emas yang diraih jurulatihnya Loh Choon How dalam acara sama pada edisi Filipina 2019 kekal milik Malaysia.

“Ini sempurna, saya sangat sukakan persembahan saya hari ini dan teruja melihat nama saya pada kedudukan teratas. Saya telah bersedia dan menunggu untuk Sukan SEA ini selama dua tahun, tidak sabar untuk bertanding semula.

“Jadi hari ini, saya tidak berasa sangat tertekan dan takut, cuma mengikut nasihat jurulatih untuk menunjukkan persembahan yang baik,” katanya selepas upacara penyampaian pingat di Gimnasium Cau Giay, di sini hari ini.

Zhi Yan turut berharap untuk beraksi dengan baik dalam acara taijijian esok.

Sementara itu, seorang lagi atlet yang membuat debut dalam Sukan SEA, Clement Ting Su Wei, 24, tidak menyangka meraih emas menerusi acara changquan lelaki selepas merekodkan 7.90 mata,

“Saya tidak menyasarkan pingat, hanya mengikut rutin, langkah demi langkah seperti biasa. Saya sangat gembira untuk emas ini,” kata pemuda kelahiran Sibu itu.

Sementara itu, Calvin Lee Wai Leong, yang juga pertama kali beraksi di temasya itu, membawa pulang perak dalam nandao lelaki dengan 9.68 mata.

– BERNAMA


Pengarang :