Pengguna menunjukkan aplikasi bayaran parkir digital Smart Selangor Parking (SSP) ketika tinjauan di Taman TTDI Jaya, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengguna makin mahir, selesa bayar parkir secara digital

SHAH ALAM, 23 MEI: Pengguna tidak berdepan sebarang isu berkait bayaran parkir secara digital yang dikuat kuasa di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri awal April lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata orang ramai semakin selesa dan mahir menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) selain pembelian e-kupon melalui ejen yang dilantik.

“Tiada masalah besar dan berjalan lancar setakat ini. Kami hanya terima satu dua aduan yang mana mereka kurang mahir guna aplikasi SSP, tetapi itu senang sahaja diselesaikan.

“Kami lantik ramai ejen yang jual e-kupon, jadi tidak timbul masalah mereka tidak boleh beli kupon tersebut,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEB Waste Management (KDEBWM) di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sze Han memaklumkan PBT juga akan melaksanakan parkir maksimum dua jam di kawasan tertentu dalam masa terdekat.

“Sebab itu kita laksana bayaran parkir digital sepenuhnya. Kita perlu ada satu kawalan (parkir) yang baik, kalau tanpa bayaran digital susah untuk kita kawal parkir tersebut,” katanya.

Bayaran parkir di seluruh PBT dilaksana secara digital bermula 1 April lalu dengan aplikasi SSP boleh dimuat turun di Google Playstore, AppStore atau Huawei Store.

Sebanyak 57,518 kupon parkir gores ditukar kepada e-kupon melibatkan transaksi hampir RM40,000 sehingga 18 April.

 


Pengarang :