Penyokong KEADILAN mengangkat plakad ketika majlis pelancaran Gagasan #KITASEMUAKEADILAN di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 7 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengorbanan pemimpin awal lonjak KEADILAN jadi parti arus perdana

PETALING JAYA, 15 MEI: Bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengingatkan pengorbanan besar pemimpin awal melonjakkan parti tersebut ke persada perdana.

Tian Chua, penyandang ketua cabang Batu, berkata sumbangan berterusan aktivis reformasi mengatasi pelbagai kesusahan yang dihadapi pada peringkat awal penubuhan parti lebih 20 tahun lalu.

“Ini bukan sumbangan seorang dua, bukan pengorbanan pimpinan atasan tetapi ini adalah pengorbanan ramai dalam kalangan kita seperti aktivis reformis.

“Mereka yang dulu tidak kenal satu sama lain tetapi kita berhimpun dalam satu parti yang merangkumi semua, menjadikan parti ini kuat,” katanya dalam program Rapat Mega Cabang Sungai Buloh di Kota Damansara di sini malam tadi.

Tidak mempertahan jawatan naib presiden, beliau menjelaskan kekuatan KEADILAN antaranya menyatukan perbezaan idelogi kalangan ahli parti tetapi perselisihan itu kerap dipandang serong.

“Keistimewaan kita jika dipandang orang luar inilah parti yang selalu gaduh, parti kacau bilau di dalam dan luar sebaliknya kita jadikan ia kekuatan kita.

“Kekuatan kita mampu menyatupadukan perbezaan pandangan, ideologi, pelbagai agama dan etnik, kaum untuk sama-sama berjuang demi masa depan Malaysia,” katanya.

Proses Pemilihan KEADILAN bagi sesi 2022 hingga 2025 bermula di Kelantan dan Terengganu pada 12 Mei diikuti Pahang dan Wilayah Persekutuan pada keesokannya.

Pengundian di Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan dijalankan pada 16 Mei manakala Selangor pada 21 Mei diikuti Perak, Sabah dan Sarawak keesokannya.

Undian dalam talian dijalankan antara 18 hingga 20 Mei melalui aplikasi Adil manakala pengundian dalam talian bagi ahli di luar negara diadakan pada 17 Mei.


Pengarang :