Peniaga menimbang ayam yang dibeli pelanggan dalam Karnival Jualan Mega Rakyat di Dataran Puchong Permai, Subang Jaya pada 1 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengunjung puas hati jualan prihatin rakyat murah, berpatutan

SUBANG JAYA, 1 MEI: Pengunjung berpuas hati dengan harga barangan asas ditawarkan dalam Karnival Jualan Mega Prihatin yang disifatkan murah dan berpatutan.

Peniaga nasi ayam, Salmiah Mohamad, 51, mengakui pertama kali membeli ayam dengan harga serendah RM8.90 sekilogram berbanding antara RM9 hingga RM10 di pasar raya dan kedai lain sebelum ini.

Salmiah Mohamad

“Bukan sahaja murah, tetapi ayam yang dijual pun segar. Jika di luar mustahil boleh dapat harga seperti ini dan saya sangat puas hati.

“Diharap jualan murah seperti ini dibuat lebih kerap kerana kita jadi lebih seronok untuk berbelanja, apatah lagi sekarang harga barang di pasaran semakin mahal dan membebankan,” katanya.

SelangorKini membuat tinjauan Karnival Jualan Mega Rakyat di Pasar Tani Dataran Puchong Permai hari ini.

Che Ahmad Bahari

Menurut Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Che Ahmad Bahari, 73, jualan seumpama itu tepat pada masanya kerana mampu menjimatkan perbelanjaan ketika membuat persiapan Aidilfitri.

“Saya bersyukur semua keperluan di pasar tani ini cukup dan boleh dibeli dengan harga yang sesuai untuk menyambut hari raya terutama ayam.

“Jadi hari ini saya berpeluang beli dua ekor ayam murah dan boleh dijadikan bekalan tambahan untuk masak rendang, lagipun saya akan anjur rumah terbuka,” katanya.

Faizi Zakaria

Sementara itu, peniaga ayam, Faizi Zakaria, 49, berkata permintaan ayam sangat menggalakkan apabila sebanyak 160 ekor ayam habis terjual seawal jam 10 pagi.

“Jika hari biasa saya bawa 70 hingga 80 ekor ayam sahaja, itupun jam 12 baru habis tetapi hari ini (bawa) sekali ganda sebab ramai yang ingin buat persiapan menyambut hari raya.

“Mereka yang beratur seawal 7 pagi untuk mendapatkan ayam. Alhamdulillah, jam 10.30 jualan ayam habis,” katanya yang sudah 12 tahun berniaga di pasar tani berkenaan.

Jualan murah barangan asas secara besar-besaran bermula 25 April hingga 2 Mei di 29 lokasi sempena Aidilfitri.

Inisiatif seminggu itu menawarkan 23,200 ayam segar, 23,200 kilogram(kg) daging pejal, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200 kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung (QFish).


Pengarang :