Hasnah Diran, 65, (kiri) bersama rakan dan cucunya menonton siaran langsung program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor di Flat Kelompok Camar, Ampang pada 3 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Penonton bertuah Senandung Aidilfitri diumum Isnin

SHAH ALAM, 4 MEI: Seramai 40 penonton bertuah rancangan Senandung Aidilfitri malam tadi akan diumum Isnin ini menerusi Facebook Media Selangor, maklum Setiausaha Pertubuhan Media Selangor.

Nuar Md Dhiah berkata daripada jumlah itu, 20 penonton yang berjaya menjawab soalan mudah bakal memenangi wang tunai RM200.

Menurutnya, baki 20 lagi adalah penonton yang berkongsi video siaran langsung ke dinding Facebook dan Twitter masing-masing sekali gus akan membawa pulang hadiah RM100.

“Hadiah kemenangan ini akan dikreditkan terus ke akaun pemenang sebaik pengumuman dibuat pada hari tersebut.

“Kami berterima kasih kepada lebih 10,000 pengguna Facebook, YouTube (5,000) dan TikTok (2,000) yang menonton rancangan bersiaran kira-kira sejam,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau yakin sasaran 500,000 penonton mampu dicapai dalam tempoh tiga hari selain mengajak lebih ramai mengulang tonton rancangan terbabit.

Nuar turut menyifatkan jumlah penonton ketika siaran langsung malam tadi memberangsangkan di sebalik kesibukan orang ramai pulang ke kampung dan beraya bersama sanak-saudara.

“Saya percaya rancangan ini memberi impak kepada masyarakat di luar sana kerana ia menggabungkan konsep hiburan dan informasi berkaitan inisiatif Kerajaan Negeri.

“Malah rata-rata penonton meninggalkan reaksi positif di ruangan komen media sosial,” katanya lagi.

Sketsa sempena Aidilfitri itu terbahagi kepada lima bahagian iaitu banjir, rebut raya, kampung halaman, dapur raya dan kita bangkit bersama.

Rancangan dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri serta Perbadanan Adat dan Warisan Selangor selama sejam dilakonkan Azlee Senario, Raja Azura, Bell Ngasri dan Sissy Imann.

Senandung Aidilfitri kali pertama disiarkan tahun lalu ketika larangan balik kampung akibat Perintah Kawalan Pergerakan dan disiar di portal selangortv.my, Facebook Media Selangor dan YouTube di https://youtu.be/6xJGAZKNZWM.

 

 


Pengarang :