Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman yang didakwa atas dua pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan mengedar 214 gram dadah keluar dari mahkamah selepas prosiding sebutan kes yang dihadapinya pada 18 Mei 2022. Foto Facebook Bernama TV
AGENDA NASIONAL

Penyanyi nasyid, Yasin mula rawatan bipolar di hospital semalam – peguam

PETALING JAYA, 18 MEI: Penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman sudah mendapatkan rawatan penyakit bipolar yang pertama di Hospital Sungai Buloh semalam, sejak beliau berdepan dua pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan mengedar 214 gram dadah, pada 31 Mac lepas.

Peguam Ariff Azami Hussien yang mewakili Muhammad Yasin memaklumkan perkara itu pada sebutan kes berkenaan hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat dan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Ariff Azami berkata rawatan psikiatri yang perlu diberikan kepada Muhammad Yasin telah diuruskan oleh pihak Penjara Sungai Buloh selepas permohonan tersebut dibuat pada tarikh sebutan lepas (31 Mac).

“Anak guam (Muhammad Yasin) telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh semalam untuk mendapatkan rawatan yang dipohon walaupun sedikit lewat dibawa ke hospital. Kami rakam ucapan terima kasih kepada mahkamah dan penjara kerana memungkinkan rawatan ini.

“Anak guam juga akan menerima rawatan susulan dalam tempoh enam minggu di Hospital Sungai Buloh,” kata Ariff Azami yang hadir bersama seorang lagi peguam Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim dan Maryam Jamilah Ab Manaff memberitahu mahkamah bahawa laporan kimia masih belum diperoleh dan memohon tarikh sebutan lain bagi menyerahkan laporan tersebut.

Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 22 Jun ini untuk penyerahan laporan kimia.

Semasa memasuki mahkamah, Muhammad Yasin yang memakai baju berwarna putih menunjukkan isyarat bagus dan melambai ke arah ahli keluarga serta beberapa rakan artis yang duduk di galeri awam.

Prosiding itu turut dihadiri Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan abang Muhammad Yasin, Zain.

Pada 31 Mac lepas, pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang daripadanya kanabis boleh diperoleh sama ada secara terus atau secara tidak langsung di kediamannya di Kondominium Casa Indah, Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, 24 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada dua anak itu juga didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dijatuhkan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin, 47, ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau berterima kasih kepada Syed Saddiq dan rakan-rakannya yang hadir di mahkamah hari ini bagi memberi sokongan kepadanya.

Kelihatan beberapa ahli kumpulan nasyid Brothers menyanyikan lagu ‘Teman Sejati’ semasa Muhammad Yasin keluar dari mahkamah.

Sementara itu, Zain berkata ahli keluarga melawat Muhammad Yasin di Penjara Sungai Buloh pada setiap minggu bagi memberi sokongan kepada adiknya itu.

“Kami (ahli keluarga) memberi sokongan yang tidak putus kepada Yasin sebab tak nak dia rasa kecewa dan akan pastikan dia makan ubat secara konsisten. Anak-anak dia (Yasin) juga berada dalam keadaan baik dan Yasin telefon mereka seminggu sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Pengerusi Kaukus Medical Cannabis berkata beliau telah berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperhalusi cadangan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

“Saya sebaik mungkin akan membantu dalam isu ini supaya ia dilihat daripada sudut data dan sains,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :