Dua wanita memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di tempat perhentian teksi Bandar Seremban, Negeri Sembilan pada 14 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Permintaan merosot, 70,000 teksi tersadai jadi besi buruk sejak 2014

SHAH ALAM, 26 MEI: Sekitar 70,000 teksi tersadai dan menjadi besi buruk dengan nilai kerugian RM2.9 bilion susulan permintaan yang kian merosot ditambah kesan pandemik Covid-19.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia Kamarudin Mohd Hussain berkata masalah bermula 2014 sebahagian besarnya melibatkan pemandu di sekitar Lembah Klang, lapor Harian Metro.

Jelasnya, ketika ini hanya 40,000 daripada 110,000 pemandu teksi seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak masih bertahan dalam industri terbabit.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus syarikat teksi gulung tikar selepas pemandu tidak mahu membawa teksi disebabkan tidak mampu membayar sewa akibat kurang sambutan daripada pengguna.

“Kebanyakan pemandu teksi yang berhenti mencari haluan lain seperti berniaga kecil-kecilan, memandu lori, menternak, bertani serta menjadi penganggur malah bagi yang berusia hanya duduk di rumah bergantung harap kepada ahli keluarga lain,” katanya.

Tambah Kamarudin, dampak itu berikutan tiada kawalan saksama dalam operasi e-panggilan dan teksi hingga mewujudkan jurang antara perkhidmatan berkenaan.

“Banyak syarikat cuba bertahan namun keadaan semakin parah pada 2018 dan ada terpaksa gulung tikar. Disebabkan itu, sesetengah syarikat membiarkan teksi yang tidak digunakan di depoh.

“Akhirnya banyak teksi tersadai selain ada yang dilupuskan di premis potong besi,” katanya lagi.


Pengarang :