Bakal jemaah haji bergambar selepas selesai menerima insentif Haji Muassasah di Masjid Al-Amaniah Gombak pada 20 Julai 2017. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permohonan insentif haji dibuka 23 Mei, sasar 3,000 jemaah terima manfaat

SHAH ALAM, 19 MEI: Insentif Haji Muassasah Selangor yang tertangguh dua tahun akibat Covid-19 diteruskan semula tahun ini menerusi peruntukan sebanyak RM1.5 juta, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi inisiatif itu, seramai 3,000 jemaah menerima wang tunai RM500 serta kit cenderamata mengandungi beg, penyahkuman tangan, losen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

“Permohonan dibuka tiga bulan bermula Isnin ini (23 Mei) hingga 31 Ogos menerusi Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor.

“Bakal jemaah yang mahu memohon hanya perlu membawa kad pengenalan serta salinan surat tawaran mengerjakan haji yang lengkap dengan maklumat penerbangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Amirudin berkata inisiatif akan diuruskan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

“Semoga inisiatif ini meringankan beban serta mempermudah urusan bakal tetamu-tetamu Allah yang terpilih,” katanya.

Pada 2019, Kerajaan Selangor membelanjakan RM3.4 juta bagi menjayakan insentif itu melibatkan 7,000 jemaah.


Pengarang :