Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Permohonan insentif haji setiap DUN lancar, 3,000 jemaah terima manfaat

SHAH ALAM, 30 MEI: Urusan pemohonan Insentif Haji Muassasah 2022 setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibuka pada 23 Mei berjalan lancar, kata ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ahmad Azri Zainal Nor berkata pemohonan disemak dan diteliti setiap minggu sebelum kelulusan diberikan bagi memastikan bantuan sampai kepada individu layak.

“Penerbangan pertama dijangka pada Sabtu ini. Jemaah dalam kalangan terawal ini tetap akan terima bantuan meskipun sudah terbang menunaikan haji.

“Jadi kita minta bakal jemaah supaya segera membuat permohonan dengan menghubungi pusat khidmat DUN masing-masing. Jangkaan semua 3,000 jemaah Selangor layak menerima inisiatif ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Insentif Haji Muassasah Selangor yang tertangguh dua tahun akibat Covid-19 diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang bakal menunaikan haji.

Jemaah yang layak akan menerima tunai RM500 dan kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

Antara syarat permohonan mestilah warganegara Malaysia, tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji.


Pengarang :