Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat DUN Taman Medan di Dataran Anak Muda, Petaling Jaya pada 14 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perpaduan parti senjata ampuh hadapi pilihan raya

SHAH ALAM, 16 MEI: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor mahu ahli di semua peringkat berusaha mengekalkan perpaduan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar berkata kekuatan dalaman parti hanya terhasil melalui kesepakatan dan muafakat, sekali gus mendorong untuk meraih kemenangan.

“Agenda utama menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ialah mengumpul kekuatan dalaman dan luaran parti kerana ia resipi paling ampuh untuk mencapai kemenangan.

“Kekuatan itu diperoleh dengan mengumpul individu yang sama-sama mahukan perubahan,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat Cabang Damansara di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Damansara Damai, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menganggap pemilihan kali ini istimewa kerana berlangsung hampir dengan PRU15 selain cabaran membuktikan parti itu kekal relevan.

“Pemilihan kali ini adalah ujian kepada parti, cabang dan kepemimpinan untuk membuktikan KEADILAN dan gerakan reformasi masih relevan untuk membawa kebaikan kepada Malaysia,” katanya.

Amirudin antara 18 calon naib presiden termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad.


Pengarang :