Persembahan seni silat ketika Kejohanan Selangor Martial Arts XTIV di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 29 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pertandingan seni bela erat hubungan kaum, saran dianjur tahunan

SHAH ALAM, 29 MEI: Kejohanan Selangor Martial Arts XTIV anjuran Jawatankuasa Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan dapat merapatkan hubungan masyarakat berbilang kaum.

Pengasas Persatuan Gerak Penchak Gayarasa Mohd Khairi Ab Rahman berkata pertandingan melibatkan pelbagai jenis seni bela diri jarang dianjurkan yang menyebabkan masyarakat kurang berkomunikasi antara satu sama lain.

Pengasas Gerak Penchak Gayarasa Mohd Khairi Ab Rahman

“Kita hidup dalam negara pelbagai kaum, jadi perlu ada komunikasi dan tolak ansur. Program seperti ini bagus kerana dapat memupuk perpaduan masyarakat.

“Gabungan pelbagai seni mempertahan diri ini bagus dan perlu dianjurkan setiap tahun supaya perpaduan dalam masyarakat dapat dikekalkan,” katanya kepada SelangorKini.

Naib Presiden Persatuan Taek Won Do Malaysia Dato’ Clement Toh berkata pihaknya teruja apabila program gabungan seni mempertahan diri dianjurkan selepas dua tahun pandemik melanda.

Naib Presiden Persatuan Taekwon-Dos Malaysia Dato’ Clement Toh

“Program gabungan seperti ini membolehkan setiap seni mempertahan diri bertukar pengalaman antara satu sama lain.

“Ini peluang kepada seni mempertahankan diri untuk bangkit semula dan mengetengahkannya terutama kepada anak muda,” katanya.

Presiden Persatuan Silambam Malaysia A.N.Visva mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menganjurkan program menggabungkan tiga jenis seni.

“Ini gabungan pertama yang disertai kerana biasanya dianjurkan secara berasingan. Saya berharap negeri lain dapat mencontohi Selangor dengan menganjurkan program seperti ini,” katanya.

Presiden Persatuan Silambam Malaysia A. N. Visva

Kejohanan Selangor Martial Arts XTIV dianjurkan Jawatankuasa Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Kejohanan tersebut mendapat sambutan apabila seramai 1,500 peserta menyertai pertandingan yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.


Pengarang :