Ahli Dewan Negeri Sekinchan Ng Sue Lim bersama pesawah sekitar Sabak Bernam mengadakan demonstrasi aman menggesa Kementerian Pertanian menaikkan harga siling padi pada 11 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Pesawah gesa naik harga siling padi, tampung kos beli baja dan racun

SEKINCHAN, 11 MEI: Lebih 8,000 pesawah sekitar Sabak Bernam menggesa Kementerian Pertanian menaikkan harga siling padi kepada RM1,400 setiap tan berbanding harga semasa RM1,200.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan Ng Suee Lim berkata harga siling yang ditetapkan ketika ini tidak mampu menampung keperluan pesawah memandangkan kos input padi semakin meningkat.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Sue Lim bercakap kepada media selepas demonstrasi aman bersama pesawah padi pada 11 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Harga racun, baja naik lebih 150 peratus daripada harga asal. Alasannya disebabkan pandemik Covid-19 namun harga jualan padi tetap rendah, tak dinaikkan.

“Jadi kami gesa kerajaan menaikkan harga padi. Pengorbanan pesawah besar memandangkan mereka terlibat dalam jaminan bekalan makanan negara,” katanya mengetuai perhimpunan aman bersama kira-kira 100 pesawah di sini, hari ini.

Selain kenaikan harga, speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu berkata pesawah yang mengusahakan lebih 18 hektar bendang turut menggesa potongan basah setiap tan dikembalikan kepada paras 17 peratus.

“Pengilang menolak harga basah sehingga 20 hingga 30 peratus. Ini memberi kesan besar kepada jumlah pendapatan petani malah ada yang hanya menerima purata gaji bulanan RM1,000 sahaja.

“Mereka juga mendesak supaya subsidi bulanan baja turut dinaikkan kepada RM500. Sekarang RM360 dan jumlah tidak mencukupi kerana hasil padi tidak menentu,” katanya.

Suee Lim berkata kerajaan perlu menjaga hak dan keperluan golongan berkenaan memandangkan mereka tidak dibenarkan menanam tanaman lain.


Pengarang :