Selangorkini
AGENDA JENAYAH

PGA lumpuhkan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai bernilai RM2 juta

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai dengan rampasan 8,207 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM2 juta, di Kepong Baru di sini, semalam.

Komander Briged Tengah PGA Cheras SAC Zulkifli Jonit dalam kenyataan berkata susulan rampasan itu, PGA menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata selain rokok, turut dirampas ialah sebuah telefon bimbit dan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda Isuzu D Max yang disyaki digunakan untuk kegiatan pengedaran rokok.

“Serbuan ini melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Kuala Lumpur yang menjadikan kediaman yang disewa di kawasan taman perumahan sebagai stor penyimpanan rokok.

“Kesemua rampasan berkenaan dilakukan dalam serbuan pada kira-kira 11 pagi ke atas sebuah rumah di kawasan terlibat,” katanya yang turut meminta orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan yang menyalahi undang-undang kepada polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

– BERNAMA


Pengarang :