Aksi pemain perseorangan muda lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin dalam salah satu kejohanan badminton. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Piala Thomas: Aidil Sholeh berkorban demi negara, impian

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Tatkala umat Islam meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang, lain pula bagi pemain perseorangan muda lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Mana tidaknya, Aidil Sholeh terpaksa melakukan ‘pengorbanan’ besar dengan melupakan nikmat sambutan Aidilftri buat julung kalinya demi tugasan untuk Malaysia tercinta pada Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand yang dijadual bermula 8 hingga 15 Mei ini.

Bagaimanapun, pemain dari Selangor itu mengakui cabaran tersebut jelas tidak melunturkan semangatnya untuk beraksi pada kejohanan badminton berpasukan berprestij dunia walaupun buat pertama kali terpaksa berjauhan dengan keluarganya di hari lebaran.

“Saya rasa agak sedih sikit, tidak beraya bersama keluarga, tapi tidak mengapa saya ada misi saya untuk main Thomas Cup.

“Saya minta doa sesiapa yang sokong saya dan pasukan Piala Thomas and Uber Malaysia untuk kami bermain lebih bagus, untuk jadi juara,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Aidil Sholeh yang berada di ranking ke-100 dunia, sedia berdepan cabaran dalam merebut slot perseorangan ketiga negara di Piala Thomas.

Justeru, pemain berusia 22 tahun itu bertekad akan menampilkan aksi terbaik seandainya menjadi pilihan barisan kejurulatihan di Bangkok nanti.

“Kalau saya dapat main, saya akan buktikan yang saya akan buat yang terbaik mungkin, saya nak bagi satu point untuk Malaysia” tambahnya.

Selain Aidil Sholeh, kem perseorangan lelaki negara di Piala Thomas 2022 akan diketuai juara Kejohanan Badminton Asia 2022, Lee Zii Jia diikuti Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Liew Daren.

Kejohanan Piala Thomas 2022 menyaksikan Malaysia diundi bersama Jepun, England dan Amerika Syarikat dalam kumpulan D.

Amerika Syarikat menggantikan New Zealand yang terpaksa menarik diri daripada menyertai Piala Thomas 2022 semalam selepas beberapa pemain mereka dijangkiti Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :