Pemain badminton beregu negara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani ketika menentang pemain dari England Rory Easton dan Zach Russ pada Kejohanan Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok hari ini. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Piala Thomas: Malaysia benam England 5-0

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 9 MEI: Skuad badminton lelaki Malaysia memulakan kempen pusingan akhir Piala Thomas 2022 dengan penuh bergaya setelah membenam England 5-0 dalam saingan peringkat pembukaan Kumpulan D di Impact Arena, di sini, hari ini.

Jaguh perseorangan Malaysia, Lee Zii Jia terbukti terlalu kuat sebagai tandingan Toby Penty apabila berjaya mendahului dengan selesa 8-0 pada peringkat awal permainan pembukaan sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-10, dan set seterusnya 21-15, sekali gus meletakkan pasukan negara 1-0 mendahului lawan.

Pemenang pingat gangsa dalam acara beregu lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengukuhkan kedudukan Malaysia apabila berjaya mengatasi cabaran sengit Ben Lane-Sean Vendy pada set kedua.

Bagaimanapun, beregu nombor satu negara itu terpaksa berhempas pulas setelah tewas 19-21 dalam set pertama, sebelum berjaya bangkit dan menundukkan pasangan Inggeris itu dalam dua set berikutnya, 21-15, 21-16.

Bukan itu sahaja, perlawanan yang tertangguh lebih lima minit pada set kedua akibat masalah pencahayaan tidak menjejaskan momentum Aaron-Wooi Yik untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan selesa menentang England.

“Saya rasa satu daripada pintu di dalam arena telah terbuka dan ia menyebabkan kami berasa sedikit silau di gelanggang, saya tidak tahu kenapa penganjur mengambil masa yang lama untuk menutupnya tetapi akhirnya mereka berjaya menutupnya sedikit,” Aaron memberitahu pemberita ketika ditemui selepas perlawanan di zon campuran di sini.

Aaron yang juga ketua pasukan bagaimanapun tidak berpuas hati dengan persembahan mereka terutama apabila tewas pada set pertama tetapi gembira mereka kembali yakin pada dua set berikutnya.

Bintang yang semakin meningkat, Ng Tze Yong kemudiannya mengesahkan mata kemenangan untuk Malaysia selepas dia terpaksa bergelut selama 65 minit menentang Johnnie Torjussen, namun berjaya memperoleh kemenangan dengan 21-16, 19-21, 21-11.

Tze Yong, yang menduduki ranking ke-46 terbaik dunia, kecewa setelah terpaksa tunduk pada Torjussen dalam set kedua, namun akhirnya berjaya menyumbang mata ketiga untuk skuad negara.

Juara Terbuka Jerman 2022, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin meneruskan momentum kemenangan pasukan negara apabila menewaskan Rory Easton-Zach Russ 21-13, 21-9 untuk menjadikan kedudukan Malaysia 4 England 0.

Perseorangan ketiga negara, Leong Jun Hao menghadiahkan kemenangan bermakna buat Malaysia setelah hanya memerlukan 40 minit untuk menewaskan Cholan Kayan dengan 21-11, 21-18.

Malaysia pasti inginkan kemenangan seterusnya ketika menentang Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan kedua untuk mengesahkan tempat ke suku akhir selepas pasukan AS itu mengalami kekalahan teruk 0-5 kepada pasukan pilihan, Jepun dalam aksi Kumpulan D yang lain.

– BERNAMA

 


Pengarang :