Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat DUN Taman Medan di Dataran Anak Muda, Petaling Jaya pada 14 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pilih calon satu padukan parti, amal kerjasama bukan gerak sendirian

PETALING JAYA, 15 MEI: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menyeru ahli parti memilih calon yang menyatupadukan parti.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemilihan yang tepat dapat memastikan kelompok dalam parti mampu saling bekerjasama, bukan bergerak sendirian.

“Kita perlu melihat mereka yang berlapang dada, mengumpul kekuatan dan bukan berlagak berlari berseorangan dengan berkata kita boleh menang berseorangan.

“Kerana kita ada negeri yang perlu dipertahan,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar dalam program Rapat Mega Cabang Sungai Buloh di Kota Damansara di sini malam tadi.

Beliau juga mengingatkan permuafakatan penting berikutan KEADILAN berdepan lawan berpengalaman seperti Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum.

“Pilih calon-calon nanti, lihat mereka yang ingin menyatukan kita, yang seru muafakat, yang seru mengumpul kekuatan. Mereka (Umno dan BN) sangat berpengalaman dalam politik.

“Kita kena kumpul kekuatan rakyat, hendak kumpul kekuatan kita kena kumpul kelompok yang ingin lakukan perubahan besar-besaran,” katanya.

Pengundian bermula di Kelantan dan Terengganu pada 12 Mei diikuti Pahang dan Wilayah Persekutuan pada keesokannya.

Pemilihan di Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan dijalankan pada 16 Mei manakala Selangor pada 21 Mei diikuti Perak, Sabah dan Sarawak keesokannya.

Undian dalam talian dijalankan antara 18 hingga 20 Mei melalui aplikasi Adil manakala pengundian dalam talian bagi ahli di luar negara diadakan pada 17 Mei.


Pengarang :