Mangsa banjir Nuarjan Sulaiman melihat kenderaannya yang dihanyutkan arus bah ketika tinjauan Media Selangor di Hulu Langat pada 21 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANAWAWANCARA

Pilu Bezza dibadai bah, wanita sangka ‘scam’ ditawar kereta baharu

SHAH ALAM, 3 MEI: Banjir besar yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor pada Disember tahun lalu mengakibatkan kira-kira 50,000 kenderaan mengalami kerosakan, antara paling teruk di Hulu Langat.

Kerugian akibat kerosakan kenderaan di daerah itu berjumlah RM155.5 juta di belakang Petaling (RM328.3 juta) dan Klang (RM276.9 juta) berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Selain Kerajaan Negeri giat membantu mangsa banjir, pelbagai pihak turut menghulur sumbangan. Wartawan Nadiah Zamlus menemu bual suri rumah yang kereta dihanyut arus Sungai Lui, Hulu Langat sebelum menerima bantuan syarikat swasta.

Remuk hati Nuarjan Sulaiman, 36, melihat kereta yang baru digunakan tiga bulan hanyut dalam arus banjir terburuk dialami Selangor pada 17 Disember lalu.

Perodua Bezza itu dibeli dengan skim khas pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah hampir enam tahun tidak berkereta.

Sangkanya, banjir kali itu mungkin tak seteruk mana. Suaminya, Mohd Khairi Ismail, 37, awal-awal lagi meletakkan kereta di tempat selamat.

Keretanya diletak di jalan utama, itulah kawasan selamat sekiranya kampung mereka banjir. Rumah Nuarjan di seberang Sungai Lui yang hanya boleh dilalui menggunakan jambatan.

Jiran-jirannya di Kampung Sungai Lui Batu 19, Hulu Langat juga meletakkan kenderaan mereka di situ. Namun sangkaan mereka meleset.

Kereta Nuarjan bersama 10 lagi kenderaan lain dibawa arus banjir dahsyat. Terjahan Sungai Lui lewat petang itu amat menakutkan. Seperti tsunami, kata wanita itu.

Menceritakan detik cemas berkenaan, ibu tiga anak itu berkata hujan bermula sejak Khamis, 16 Disember berlarutan hingga esoknya.

Pada Jumaat 17 Disember, paras air sungai di hadapan rumahnya yang terletak kurang 50 meter dari tebing sungai mula naik. Fikirnya, mungkin jika banjir pun tidak tinggi mana, namun keadaan cemas bermula jam 7 petang.

Bekalan elektrik, air dan talian telefon semua ‘mati’ tiba-tiba. Nuarjan segera membawa tiga anaknya ke rumah kakak sepupu, di sebelah rumah. Rumah saudaranya itu dua tingkat. Lebih selamat.

Waktu itu, air banjir paras lutut. Tapi 30 minit kemudiannya air mencecah pinggang. Nuarjan dan suami gelisah. Sudahlah barang rumah langsung tidak sempat diselamatkan. Kereta yang diletak kira-kira 100 meter dari rumah juga tidak dapat diselamatkan.

Mangsa banjir Nuarjan Sulaiman menceritakan detik cemas ketika ditemubual Selangorkini di Kampung Sungai Lui, Batu19, Hulu Langat pada 1 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ketika berlindung bersama lapan jiran lain di tingkat atas rumah saudaranya, suami Nuarjan nekad keluar rumah yang menjadi tempat perlindungan untuk selamatkan kereta mereka.

“Suami dan abang sepupu cuba selamatkan kereta, tapi apabila sampai di jambatan ke jalan utama, mereka tersangkut di situ. Katanya arus sungai sangat laju. Talian telefon tiada, hanya dengar jeritan mereka kata sudah tidak lepas,” katanya ketika ditemui Selangorkini di rumahnya pada 1 April.

Air menerjah ruang atas tempat Nuarjan, sepupunya dan jiran berlindung. Meski di tingkat dua, air sudah paras lutut, memaksa mereka memecahkan siling bagi menyelamatkan diri lantaran bimbang air naik lebih tinggi.

Kata Nuarjan, bayi berusia 12 bulan antara yang berlindung bersamanya di situ, selain anaknya yang berusia sembilan, tujuh dan lima tahun.

Hanya zikir bermain dalam hati, bunyi sungai seakan-akan marah, menderu-deru laju. Sekali sekala terdengar bunyi hentaman, seperti kayu besar menghentam bangunan. Setelah hampir lima jam berlindung, air mula surut. Tapi mereka belum cukup berani untuk keluar.

Pagi Sabtu, 18 Disember hanya ungkapan nama-nama Allah bermain di bibir Nuarjan, dia seakan-akan tidak percaya. Itulah kampung tempat tinggalnya yang dihuni hampir 10 tahun.

Rumahnya tenggelam, tidak ada apa dapat diselamatkan. Rumah-rumah jiran juga penuh lumpur, memang seperti tsunami.

Keretanya dibawa arus kira-kira 200 meter dari tempat asal. Mengalir air mata Nuarjan melihat kereta baharunya kemek teruk. Luluh lagi hati Nuarjan melihat wajah sedih anaknya menatap kereta ‘harapan’ mereka.

“Baru berapa bulan mereka merasa naik kereta tu, ke sekolah saya hantar naik motor saja, tapi bila ada kereta memang semua seronoklah, boleh jalan jauh sikit,” katanya sayu.

Bukan pertama kali

Bukan tidak pernah memiliki kereta, Nuarjan yang lebih mesra dipanggil Ijan cuba mengenang kisah lalu. Ketika usia perkahwinannya menjengah dua tahun, kereta Honda Civic EF milik suami ketika zaman bujang tenggelam dalam banjir pada 2013.

Suri rumah sepenuh masa itu tidak mengeluh walaupun kereta berkenaan terpaksa dibiarkan di bengkel selama dua tahun, gara-gara upah untuk baik pulih dibayar beransur-ansur.

“Tak apalah, masa itu kami ke sana-sini pun naik motor sahaja, suami pula bekerja seorang diri, dia kakitangan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sementara saya pula suri rumah.

“Masa itu memang banyak kerja ‘wiring’ (pendawaian) kena buat, maklumkah kereta tenggelam dengan banjir,” katanya.

Dua tahun berlalu, Ijan tarik nafas lega. Kereta suaminya siap dibaiki. Tapi nasib tidak menyebelahi mereka. Baru dua bulan mereka ditimpa kemalangan pula.

Tidak mengapalah, Ijan kata kepada suaminya. Daripada menanggung kos dan kerja baik pulih lagi, dia dan suami lebih rela menggunakan motosikal sahaja selama hampir enam tahun.

Dengan motosikal jugalah wanita kelahiran Kajang itu menghantar tiga anaknya ke sekolah hampir setiap hari. Bukan tidak mahu bekerja, tetapi gajinya sebagai pekerja pasar raya cukup-cukup untuk membayar upah pengasuh. Sementara gaji suami pula untuk menampung kehidupan seharian.

Sebab itulah mereka terlalu gembira bila dapat membeli kereta semula, namun ‘jodoh’ tidak panjang. Kereta itu juga musnah dalam banjir pada Disember lalu.

Empat bulan selepas banjir dahsyat itu, kereta milik Nuarjan sekeluarga masih di bengkel Perodua Bangi. Kos baik pulih mencecah RM40,000. Mahu atau tidak, mereka terpaksa juga membaikinya.

“Saya tidak sanggup bayar ansuran tiap bulan tapi keretanya tiada, sebab itulah saya dan suami ambil keputusan untuk baiki juga kereta berkenaan. Tak apalah kami kumpul saja duit yang ada,” katanya lagi.

Pengalaman pahit Nuarjan pernah disiar menerusi YouTube SelangorTV pada 21 Disember tahun lalu. Tular dan menjadi bualan orang ramai.

Ramai bersimpati dengan jerih perih Nuarjan dan suami mengumpul wang untuk membeli kenderaan, namun rosak setelah hanya tiga bulan memakainya.

Sangka ‘Macau scam’

Benarlah tuah manusia tak siapa yang tahu, sudah tertulis rezeki buat Nuarjan. Syarikat pengendali pasaran kereta terpakai Asia Tenggara, Carsome tampil memberi kejutan dengan menyumbang kenderaan terpakai model Proton Saga kepada suri rumah itu.

Ibarat mimpi menjadi kenyataan, ibu tiga cahaya mata itu mengakui terperanjat sebaik dihubungi pihak terbabit untuk menghadiahkannya kereta Proton Saga terpakai pada 12 Januari tahun ini.

Mangsa banjir Nuarjan Sulaiman menunjukkan kereta Saga FLX yang disumbangkan oleh Carsome di Kampung Sungai Lui, Batu19, Hulu Langat pada 1 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mengimbau saat manis itu, Nuarjan masih ingat dia menerima panggilan pada waktu pagi daripada Carsome. Pemanggilnya seorang gadis yang memberitahu majikannya hendak beri kereta percuma buat dia sekeluarga.

Dalam ratusan ribu kenderaan yang rosak, dia terpilih. Mungkin ini percubaan untuk menipu, fikir ibu anak tiga itu. Namun wanita di telefon berkali-kali mengatakan mereka bukan sindiket ‘Macau scam’.

“Saya ingat lagi, budak perempuan tu cakap, bos dia tonton video saya di SelangorTV. Dia kagum tengok ketabahan saya harungi dugaan, dan betapa sedihnya hilang kereta yang dibeli guna duit simpanan sendiri.

“Sebab itulah mereka sungguh-sungguh hendak berikan kereta tersebut,” jelasnya.

Mimpi ngeri tahun lalu masih terpahat dalam ingatan wanita itu. Setiap kali hujan lebat, dia pasti takut. Gelabah, bimbang jika arus deras kembali.

Trauma itu mungkin terpaksa ditanggungnya agak lama, malah dia sendiri tidak sanggup meninggalkan rumah lama-lama. Bimbang ada perkara buruk berlaku.

“Tetapi sebagai umat Islam, kita percaya dengan kehendak Allah. Saya hanya mampu berdoa dan perlu terus kuat,” katanya tabah.

Menginsafi kejadian tahun lalu, Nuarjan berkata rayanya kali ini disambut sederhana sahaja dengan keluarga.

Katanya, masih banyak keperluan lain perlu dibeli. Kereta di bengkel juga perlu dibayar. Namun Nuarjan tetap kuat, demi tiga anak yang perlu diberi perhatian.


Pengarang :