AGENDA NASIONAL

Polis disaman guna telefon ketika memandu

SHAH ALAM, 16 MEI: Seorang anggota polis disaman selepas dilihat dalam video menggunakan telefon bimbit ketika memandu di Lebuhraya Persekutuan.

Ketua polis daerah Petaling Jaya berkata video terbabit tular 8.28 malam semalam, semasa anggota terbabit memandu Proton Preve berlogo pasukan polis.

“Dia dilihat menuju ke arah Petaling Jaya. Video itu tular di media sosial. Kami juga mengeluarkan saman kepadanya atas kesalahan itu,” kata Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam kenyataan.

Tambahnya, anggota polis itu turut dipanggil untuk membantu siasatan selain menegaskan tiada kompromi dalam mengambil tindakan terhadap anggota atau pegawainya yang melakukan kesalahan.

Semalam, tular satu klip video 14 saat di media sosial menunjukkan seorang anggota polis menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Berikutan itu, orang ramai menggesa tindakan tegas diambil ke atas anggota polis berkenaan kerana melanggar undang-undang jalan raya.


Pengarang :