Enam individu disyaki terbabit dalam kes samun dengan menyamar sebagai pegawai imigresen berjaya ditahan.
AGENDA JENAYAH

Polis tahan empat lelaki, rampas syabu bernilai RM1.4 juta

KAJANG, 30 MEI: Polis menahan empat lelaki dan merampas syabu seberat 39 kilogram dianggar bernilai RM1.4 juta daripada mereka dalam serbuan di tempat letak kereta di deretan premis perniagaan di Batu 11, Cheras Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Ahmad Jefferi Abdullah berkata kesemua mereka termasuk seorang warga Ukraine itu ditahan kira-kira 6 petang dan pihaknya turut merampas tiga kereta jenis Mercedes-Benz, Toyota Vios dan Perodua Bezza.

Beliau berkata kumpulan lelaki yang berusia 30 hingga 44 tahun itu dipercayai membekalkan dadah berkenaan kepada pengedar lain untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lepas.

“Ketika serbuan, lelaki warga Ukraine itu sedang mengangkat kotak berisi 39 pek lut sinar berisi dadah keluar dari Perodua Bezza bersama tiga lelaki tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM20,380, mata wang Thailand berjumlah 35,000 baht dan 11 utas rantai serta gelang emas daripada mereka.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah kira-kira RM1.79 juta dan polis sedang mengesan saki baki ahli sindiket termasuk ketuanya yang masih bebas serta menyiasat sumber dadah berkenaan diperoleh,” katanya.

Ahmad Jefferi berkata hasil saringan air kencing mendapati dua daripada lelaki berkenaan positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan bunuh.

Beliau berkata kesemuanya kini direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA


Pengarang :