Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media khas mengenai kejayaan menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah serta merampas 287 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM10.3 juta di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada 25 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis teruskan Op Tapis, kenal pasti dalang sindiket dadah

PASIR MAS, 23 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan operasi dan siasatan bagi mengenal pasti dalang utama sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi beberapa siri Op Tapis yang akan diteruskan lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sehingga kini terdapat ada 2,100 tokan dadah yang dianggap sebagai “tokan pertengahan” berjaya ditangkap, polis akan meneruskan siasatan bagi menahan dalang sebenar kegiatan itu.

“Kita tidak menafikan kegiatan pengedaran dadah di negara ini mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa seperti di Kelantan, kebanyakan dadah dibawa masuk dari negara jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan meninjau operasi pintu masuk di Malaysia-Thailand, di sini hari ini.

Terdahulu beliau meninjau laluan tikus di sepanjang Sungai Golok bermula di Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Kubang Pak Hitam, Pasir Mas bersama Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Mohd Nasir Deraman.

Ayob Khan berkata daripada 175 pangkalan haram di Kelantan, 135 daripadanya aktif digunakan penyeludup untuk kegiatan penyeludupan, dan sepanjang tahun lepas pihak berkuasa merampas 2,219 kilogram (kg) syabu; ganja (1,063kg); pil kuda (1.6 juta pil); heroin (100kg) dan ketamin (44kg) yang cuba diseludup di laluan kecil dan pangkalan haram di kawasan berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :