Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Usahasama Tanaman Jagung Bijirin Menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS di Wisma PKPS, Shah Alam pada 18 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Projek tanaman jagung kurang kebergantungan import hingga tiga peratus

SHAH ALAM, 18 MEI: Projek tanaman jagung bijirin di Kuala Langat Selatan, Kuala Langat dekat sini dan Gemas, Negeri Sembilan dijangka mampu mengurangkan kebergantungan bekalan import antara dua hingga tiga peratus.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek usahasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS menelan belanja RM3 juta bermula sebaik kerja pembersihan selesai dijangka pada suku ketiga tahun ini.

“Projek atas tanah seluas 283.2 hektar sebagai tanda komitmen penyelesaian komprehensif kepada harga makanan ayam yang melambung tinggi disebabkan terpaksa mengimport bekalan makanan ternakan dari luar.

“Berpandukan rujukan dari Amerika Syarikat, tanaman ini dapat mengeluarkan hasil tiga kali setahun dengan setiap pusingan mengambil masa 100 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) rentas negeri Selangor dan Negeri Sembilan bagi projek tanaman jagung bijirin menerusi program Inisiatif Sekuriti Makanan.

MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Pegawai Kewangan Negeri Sembilan merangkap Pengarah Urusan MBINS Dato’ Mohd Khidir Majid.

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun serta EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim.

Dalam pada itu, Amirudin menyifatkan pelaksanaan projek berkenaan adalah satu percubaan kreatif dan inovatif oleh pihak berkenaan.

“Saya percaya kita sedang kemukakan model ini (projek tanaman jagung bijirin). Kalau berjaya mungkin kita boleh gabungkan dengan yang lain-lain sebab isunya ialah kepakaran untuk menjaga jagung bijirin.

“Sudah pasti ia memerlukan penelitian jenis tanah dan kawalan tertentu. Jadi model perniagaan ini satu percubaan yang kreatif serta inovatif,” katanya.


Pengarang :