Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menunjukkan dokumen selepas menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Usahasama Tanaman Jagung Bijirin Menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 18 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek tanaman jagung mampu jana pendapatan RM10.7 juta setahun

SHAH ALAM 19 MEI: Kira-kira 5,490 tan mampu dihasilkan setiap tahun apabila projek tanaman jagung bijirin di Gemas, Negeri Sembilan dan Kuala Langat Selatan, Selangor siap kelak.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata hasil diperoleh dari tanaman atas tanah seluas 283.2 hektar (700 ekar) boleh dipasarkan kepada pemain industri ternakan tempatan.

Menurut Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi projek usahasama Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS turut berupaya menjana pendapatan sebanyak RM10.7 juta setahun dengan harga pasaran semasa RM1,950 per tan.

“Besar harapan agar projek ini dapat dimanfaatkan dalam perancangan strategik khususnya berkaitan sekuriti makanan seterusnya mengawal harga makanan ternakan ayam,” katanya dalam ucapan sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) rentas Selangor dan Negeri Sembilan bagi projek tanaman jagung bijirin semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun hadir menyaksikan pemeteraian MoU di Dewan Orkid PKPS di sini.

Sementara itu, Mohamad Khairil berkata kerjasama itu sebahagian iltizam menstabilkan harga makanan ayam sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap jagung bijirin import.

“Ia juga sebahagian perancangan jangka panjang Kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan dalam kerangka Program Intervensi Ehsan,” katanya lagi.


Pengarang :