Suasana pengundian secara fizikal ketika pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Dewan Beringin Sri Gombak, Batu Caves pada 21 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Proses pemilihan KEADILAN lancar, hanya Hulu Selangor tangguh tarikh lain

GOMBAK, 21 MEI: Proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) secara fizikal di Selangor hari ini lancar dan terkawal, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bagaimanapun pemilihan Cabang Hulu Selangor terpaksa ditangguh ke tarikh lain disebabkan beberapa faktor termasuk pusat pengundian kurang sempurna.

“Jadi proses undian akan ambil masa yang panjang. Harap selepas ini Jawatankuasa Pemilihan Parti boleh ambil alih untuk tentukan tempat undian.

“Di cabang lain, semua berjalan lancar walaupun ada ketegangan namun masih terkawal,” katanya selepas meninjau pemilihan Cabang Gombak di Dewan Beringin, di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga calon Ketua Cabang Gombak bercakap kepada media setelah meninjau keadaan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Dewan Beringin Sri Gombak, Batu Caves pada 21 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu beliau yang juga Dato’ Menteri Besar berkata lebih 800 ahli Cabang Gombak dianggarkan keluar mengundi sehingga proses tamat jam 5.30 petang ini.

“Setakat jam 2 petang antara 600 ke 700 menjalankan tanggungjawab masing-masing. Undian dalam talian melibatkan lebih 2,100 orang membuat pilihan dan keseluruhan 3,000 ahli layak mengundi kali ini,” katanya.

Bagi pemilihan penggal 2022/2024 kali ini Amirudin menawarkan diri merebut jawatan ketua cabang Gombak dan dicabar Pengerusi KEADILAN Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Kedua-dua mereka turut bersaing merebut jawatan naib presiden bersama 16 calon lain.

Buat julung kali pemilihan parti diadakan secara hibrid bermula 13 Mei dan menyaksikan persaingan sengit 11,282 calon bagi merebut pelbagai jawatan.


Pengarang :