Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk, tengah) bersama pemimpin kanan negeri dan EXCO bergambar sempena Hari Raya Aidilfitri di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di Shah Alam pada 21 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Rai lebaran penuh keinsafan, santuni insan kurang mampu

SHAH ALAM, 2 MEI: Syawal kali ini bersulam dengan penuh kesyukuran kerana dapat disambut semasa negara berada dalam fasa peralihan endemik.

Umat Islam tentunya mengambil peluang untuk menghidupkan kembali budaya Aidilfitri selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.

Kegembiraan ini sememangnya diraikan di seluruh negara, khususnya buat rakyat Selangor termasuk barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri yang diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ramadan yang berlalu membawa seribu satu makna kepada umat Islam yang taat. Masing-masing mencari lailatulqadar dan melaksanakan pelbagai kebajikan dalam mengejar mardhatillah.

Bagi menyambut kemenangan yang ditandai dengan kepulangan kembali kepada fitrah, yakni maksud sebenar Aidilfitri, marilah kita semua meneruskan kerja baik yang dibajai pada bulan mulia yang lepas seperti menyantuni golongan fakir dan anak yatim serta yang kurang berkemampuan.

Janganlah pula budaya membazir di bazar Ramadan terbawa-bawa sehingga membawa kepada pembuangan makanan pada musim-musim rumah terbuka.

Pasti ramai menarik nafas lega kerana setelah dua kali berhari raya dalam Perintah Kawalan Pergerakan, kali ini semua dapat bersama sanak saudara serta rakan taulan. Alhamdulillah Selangor setakat ini masih dalam keadaan terkawal.

Kemeriahan Aidilfitri sangat terasa kali ini, terutamanya kebenaran merentas negeri yang didambakan sejak dua tahun lepas. Manfaatkanlah bagi menjalin silaturahim dan merapatkan ukhuwah seperti yang dianjurkan agama.

Diharapkan agar kita tetap berhati-hati dan terus mengikuti protokol pihak berkuasa dalam keghairahan kita menyambut Syawal.

Saya memohon ampun dan maaf setulus ikhlas atas sebarang kekurangan yang ada dan berazam untuk terus memberi khidmat yang terbaik buat semua. Selamat Hari Raya. Taqaballallahu minna wa minkum”

Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor

 

“Sambutlah Aidilfitri kali ini dengan penuh keinsafan dan kegembiraan. Jangan leka di saat sedang bergembira. Sentiasa patuhi garis panduan ditetapkan. Bantulah mereka yang memerlukan dan elakkan pembaziran di musim perayaan. Selamat Hari Raya, maaf zahir batin”

Dato’ Haris Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri

 

“Aidilfitri hari menyambut kemenangan. Menjelang Syawal yang mulia, patuhilah SOP, kukuhkan ukhuwah dan silaturahim. Sama-sama bersatu melandaikan penularan Covid-19 di bumi Selangor. Semoga kesabaran hari ini akan mencipta kejayaan di masa hadapan”

Dato’ Salim Soib @ Hamid, Penasihat Undang-undang Negeri

 

“Semoga di sebalik ujian ini kita akan lebih berdaya tahan, dan Aidilfitri ini kita meraikannya dengan penuh keinsafan. Sambutlah hari lebaran ini dengan berhemah, elakkan pembaziran dan amalkan berjimat cermat. Salam Aidilfitri”

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Pegawai Kewangan Negeri

 

“Selamat Hari Raya kepada seluruh warga Selangor khususnya penduduk Sekinchan dan Parlimen Tanjung Karang. Semoga Aidilfitri beri keberkatan kepada yang meraikan. Jaga SOP, jangan sesekali lalai supaya kita boleh hidup tanpa Covid-19”

Ng Suee Lim, Speaker Dewan Negeri Selangor

 

“Pada saya, sambutan hari raya pada tahun ini amat istimewa. Semoga tahun ini akan kembali meriah. Raikanlah dengan hati yang tulus, melakukan amalan sunat, menyambung silaturahim dan kembali kepada fitrah yang suci”

Rodziah Ismail, EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Pembangunan Usahawan

 

“Selamat menyambut Aidilfitri. Saya harap anda semua gembira dengan perayaan ini. Jangan lupa terus patuh dengan SOP. Semoga apabila negara kita telah pulih daripada wabak ini, kita semua dapat kembali kepada kehidupan biasa”

Dato’ Teng Chang Khim, EXCO Industri dan Perdagangan

 

“Raikanlah kedatangan Syawal dengan penuh gembira dan keinsafan. Sesungguhnya Syawal merupakan anugerah buat hamba-Nya yang beriman dan taat. Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh umat Islam di Selangor”

Datuk Rizam Ismail, Ketua Pembangkang

 

“Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf seandainya ada tersilap kata, terkasar bahasa, tersalah laku yang tidak disengajakan. Semoga sambutan tahun ini lebih gembira dan meriah untuk semua umat Islam”

Ganabatirau Veraman, EXCO Pembangunan Sosio-Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja

 

“Syawal ini perlulah disambut dengan penuh kesyukuran supaya ia mengundang nikmat berterusan daripada-Nya. Kepada seluruh warga Selangor khususnya, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri”

Ir Izham Hashim, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

 

“Sudah masuk tahun ketiga kita dilanda Covid-19. Kini, kita menghadapi norma baharu dan fasa peralihan endemik. Namun, Syawal ini pasti akan kekal meriah dengan kiriman pelbagai ucapan hari raya. Kepada rakan-rakan, Selamat Hari Raya Aidilfitri”

Ng Sze Han, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru

 

“Moga Aidilfitri disambut penuh kesyukuran dan kembali mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga dan kawan. Bantulah mereka yang memerlukan, eratkan perpaduan dan elakkan pembaziran. Maaf zahir dan batin”

Dr Siti Mariah Mahmud, EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga

 

“Ambillah kesempatan Aidilfitri untuk kita saling bermaafan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin antara kita. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Kajang khususnya dan Selangor amnya”

Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli

 

“Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam khususnya di Selangor. Pada tahun ini, kita berpeluang menyambut lebaran bersama ahli keluarga di kampung, setelah dua tahun kita dihimpit pandemik Covid-19”

Mohd Khairuddin Othman, EXCO Modal Insan, Generasi Muda dan Sukan

 

“Semoga Aidilfitri kali ini memberi kita semua kegembiraan tanpa batas. Sambutlah dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Semoga kita dan keluarga diberkati oleh rahmat Allah. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin”

Borhan Aman Shah, EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan

 

“Setelah hampir dua tahun kita tidak dapat meraikan Syawal dengan penuh kegembiraan, marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat yang diberikan kepada kita. Hayatilah Syawal ini dengan penuh iltizam dan makna”

Mohd Zawawi Ahmad Mughni, EXCO Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal


Pengarang :