DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Selangor FC, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) serta Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) di Dewan Bankuet Auditorium Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 31 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Raja Muda Selangor rai 800 tetamu jamuan Hari Raya Aidilfitri

SHAH ALAM, 31 MEI: Seramai 800 hadirin dirai pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, hari ini.

Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis yang diadakan Dewan Bankuet Auditorium Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada jam 1.30 tengah hari.

Ketua pegawai eksekutif Selangor FC berkata majlis itu dianjur secara bersama membabitkan pihaknya, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dan Selangor Youth Community (SAY).

“Kami menjemput semua pemegang taruh, agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kelab penyokong yang bekerjasama dengan kami selama ini,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika ditemui.

Majlis bermula jam 11 pagi hingga 3 petang itu turut dimeriahkan dengan persembahan kombo MBSA yang menyanyikan lagu hari raya.

Antara juadah yang disedikan lemang, rendang, cendol, nasi briyani, apam balik dan kambing golek.

Sementara itu, pengerusi kelab bola sepak anak jati, Mohd Faizal Wahid berkata majlis ini mengeratkan lagi hubungan Tuanku dengan semua pihak yang bernaung di bawah FAS.

“Alhamdulilah memandangkan hari ini hari terakhir Syawal kita meraikannya bersama Raja Muda Selangor,” katanya.

Bekas pemain Selangor, K Sanbagamaran pula terharu dijemput dan pada masa yang sama gembira kerana dapat bertemu ramai dengan kenalan lama.

“Selepas dua tahun tidak dapat meraikannya kerana pandemik hari ini dapat bertemu rakan-rakan. Satu majlis yang amat meriah,” katanya.


Pengarang :