Pekerja KDEB Waste Management mengutip sampah pukal di sekitar Taman Buana, Petaling Jaya. Foto Facebook KDEBWM.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ramal banyak rumah terbuka, KDEBWM kerap kutip sampah sepanjang Syawal

SHAH ALAM, 10 MEI: KDEB Waste Management (KDEBWM) bakal menambah kekerapan kutipan sampah sepanjang bulan ini susulan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata tumpuan akan diberikan di kawasan kediaman berikutan jangkaan peningkatan jumlah sampah berbanding kebiasaan sebelum sambutan Syawal.

“Aktiviti ziarah sempena hari raya dijangka menyebabkan sampah, plastik, sisa makanan meningkat, selain penganjuran rumah terbuka oleh pelbagai syarikat.

“KDEBWM akan mengarahkan kutipan lebih kerap kerana tidak mahu sampah berlonggok lama. Bila dibiar lama (dalam tong sampah), ia boleh menimbulkan masalah kebersihan dan bau kurang menyenangkan,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Ramli memaklumkan hampir 4,000 tan sampah pukal dikutip pada minggu terakhir sebelum hari raya Aidilfitri.

“Ramai penduduk menggantikan sofa, katil dengan perabut baharu sempena Aidilfitri. Sebab itu jumlah sampah pukal meningkat namun kita dapat uruskan dengan sebaiknya,” katanya.

Seminggu sebelum Aidilfitri baru-baru ini, anak syarikat Kerajaan Negeri itu menawarkan kutipan sampah pukal secara percuma kepada masyarakat bertujuan memudahkan penduduk membuang sisa seperti perabot.

 

 


Pengarang :