Pengunjung merakamkan persembahan pancuran air berirama sempena Aidilfitri di Laman Budaya Shah Alam. Foto MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Ratusan pengunjung saksikan persembahan pancuran air berirama sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 10 MEI: Lebih 200 pengunjung mengambil peluang menyaksikan persembahan pancuran air berirama sempena Aidilfitri di Laman Budaya di sini hujung minggu lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata jumlah itu dijangka meningkat selepas warga kota kembali bertugas selepas cuti sambutan Aidilfitri.

“Jumlah yang hadir sekitar 200 orang dan kita yakin jumlah itu akan meningkat pada hujung minggu ini.

“Persembahan pancuran berirama adalah tarikan terbaru Shah Alam dan sebahagian daripada usaha MBSA untuk menyediakan aktiviti secara santai untuk tatapan pengunjung di Taman Tasik Shah Alam,” kata Shahrin Ahmad.

Beliau berkata persembahan Cahaya Aidilfitri itu dibuka untuk tontonan orang ramai mulai Jumaat lalu dan akan diteruskan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad sepanjang Syawal.

“Sesi persembahan pertama bermula jam 9 malam hingga 9.30 malam, manakala sesi persembahan kedua pada jam 9.45 malam hingga 10.15 malam.

“Persembahan pancuran air yang terletak di Taman Tasik Shah Alam ini sudah bermula pada Ramadan lalu bertemakan lagu ketuhanan dan kemanusiaan,” katanya.

Pancuran air berirama di Taman Tasik Shah Alam adalah antara tarikan terbaharu di bandaraya Shah Alam sejak tahun lalu.

Persembahan pancuran air setinggi 40 meter dilengkapi dengan sistem diod pemancar cahaya (LED) dan audio itu turut diadakan ketika Ramadan lalu.


Pengarang :