Penduduk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 22 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Rebut peluang periksa tahap kesihatan diri, ahli keluarga menerusi Selangor Saring

KUALA SELANGOR, 22 MEI: Seorang eksekutif swasta memandu lebih 60 kilometer dari Puchong ke Bestari Jaya, dekat sini bagi menyertai program saringan kesihatan (Selangor Saring).

Azzahraa Azman, 32, berkata dia tidak mahu melepaskan peluang memeriksa tahap kesihatan dirinya memandangkan program itu adalah percuma dan lebih sistematik.

“Saya memang mahu lakukan pemeriksaan kesihatan. Minggu lepas tinjau harga di beberapa klinik swasta dan rata-rata mengenakan lebih RM200.

“Masa itu juga saya nampak info di Twitter maklumkan ada Selangor Saring di sini. Kebetulan dekat dengan kampung, jadi saya manfaat peluang ini sambil berjumpa ibu” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, pekerja swasta Li Ting, 52, mengambil peluang membawa isteri Tan Hui Khim,5 0, dan dua anaknya berusia 14 serta 16 tahun ke program itu bagi memastikan tahap kesihatan keluarganya dalam keadaan baik.

Li Ting

“Dalam masa sama dapat jimatkan kos pemeriksaan. Kalau pergi ke klinik swasta, mungkin kena keluarkan lebih RM600.

“Saya luangkan masa hari ini untuk pastikan keluarga jalani pemeriksaan. Kalau ada penyakit apa-apa, senang dapatkan rawatan susulan,” katanya.

Bagi Azhar Amran, 58, beliau berharap program ini dihebahkan dengan meluas kerana manfaatnya yang besar kepada penduduk.

Dia yang bekerja sendiri berkata Kerajaan Negeri perlu pastikan maklumat program sampai kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

“Semalam ketika solat Jumaat di Masjid Bestari Jaya ada buat pengumuman ini. Jadi penduduk tahu program ini. Kalau tiada pengumuman mungkin saya terlepas peluang ini.

“Walaupun tidak hidap penyakit, kena juga periksa badan. Risau sekiranya sakit macam kanser ada dalam diri kita,” katanya.

Sebanyak RM3.4 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program Selangor Saring yang menumpukan pengesanan penyakit seperti jantung, kencing manis, kanser dan glaukoma.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program dijangka memanfaatkan 39,000 rakyat Selangor terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :