Selangorkini
Polis berdepan kekangan tenaga kerja dan peruntukan untuk memeriksa serta menahan individu yang berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di web tertutup.
AGENDA JENAYAH

Remaja tipu iklan tapak bazar Ramadan, lima peniaga rugi lebih RM11,000

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Polis menahan seorang remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam penipuan berkaitan sewaan tapak bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil, di sini, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata suspek berusia 19 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras selepas keluarganya menyerahkan remaja berkenaan kepada polis di Balai Polis Gemas, Negeri Sembilan.

Beliau berkata suspek dipercayai telah memperdayakan lima mangsa setakat ini melalui pengiklanan sewaan tapak itu di media sosial sehingga melibatkan kerugian berjumlah RM11,300.

“Pada 30 Mac hingga 14 April lepas, JSJK menerima enam laporan polis berkenaan penipuan dalam urusan sewaan tapak bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil. Dalam kes ini, mangsa dijanji akan memperolehi tapak dengan bayaran pendahuluan RM1,500 hingga RM2,700.

“Kesemua mereka menyedari ditipu selepas penganjur bazar itu mengesahkan bahawa Program Bazar Ramadan serta Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil tidak diteruskan, dan mereka tidak menerima wang pendahuluan oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Mahidisham berkata pemuda yang ditahan merupakan suspek utama dan pemilik akaun bank yang menerima transaksi pemindahan wang pendahuluan dalam kes ini.

“Suspek direman hingga 10 Mei untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Beliau seterusnya menasihati orang ramai yang ditipu berkaitan sewaan Tapak Bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil supaya tampil membuat laporan atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Cheras ASP G. Janarthanan Nair dengan menelefon 012-5734374.

— BERNAMA

 


Pengarang :