Pekebun kecil, penoreh getah boleh memohon bantuan musim tengkujuh yang disediakan oleh Risda.
AGENDANASIONAL

Risda buka permohonan bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil, penoreh getah

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Pekebun kecil dan penoreh getah yang layak boleh mula memohon Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi tahun ini, maklum Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Beliau berkata pihaknya sedang dalam proses pengemaskinian maklumat sedia ada, serta menerima permohonan baharu bagi program bantuan tersebut.

“Setiap penerima bantuan yang layak akan menerima sebanyak RM600 setiap seorang, bantuan akan disalurkan sebanyak dua kali iaitu RM300 bulan November dan baki RM300 lagi pada Disember tahun ini,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Risda di sini hari ini.

Mohd Salim berkata bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM191 juta, khusus kepada pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas pendapatan mereka ketika musim tengkujuh itu, bakal memanfaatkan seramai 232,319 penerima.

Antara syarat yang ditetapkan ialah penoreh getah dan pekebun kecil mempunyai keluasan kebun getah antara 0.1 sehingga 2.5 hektar.

Katanya lagi, pekebun kecil dan penoreh getah dinasihatkan melayari portal melalui pautan pekebunkecil.risda.gov.my atau hadir ke pejabat Risda berhampiran, bagi mendapatkan maklumat tepat berkenaan permohonan mereka.

“Adalah diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas sepanjang tempoh musim tengkujuh kelak,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :