Bekas pelumba trek negara, Rosman Alwi menunjukkan sebahagian pingat yang masih disimpan ketika ditemubual Selangorkini di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Rosman Alwi lumba dalam sakit, sedar menang emas dalam ambulans

Pengulas sukan terkenal, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang pernah menyifatkan basikal tua digunakan Rosman Alwi ketika digelar Raja Pecut Asia pada 1987 sebagai ‘berhantu’.

Basikal berharga RM800 itu telah membantu pelumba legenda berkenaan mengharumkan nama negara selain mencipta sejarah sebagai individu pertama Asia Tenggara memecah dominasi atlet dari Jepun, China dan Korea Selatan.

Rosman berkongsi suka duka dihadapinya sebelum mencatat kejayaan itu dalam pertemuan dengan wartawan Amin Ridzuan Ishak dan jurugambar Ahmad Zakki Jilan pada 14 April.

Terpalit skandal dadah pada Sukan SEA 1981 di Manila, Filipina titik hitam dalam hidup bekas pelumba basikal negara, Rosman. Namun, beliau menyifatkan kontroversi itu menguatkan dirinya sehingga menjadi jaguh pecut Asia.

Berumur 20 tahun pada waktu berkenaan, Rosman sedang meningkat naik dalam sukan berbasikal. Kepantasannya mengayuh dalam acara 200 meter digeruni lawan berdasarkan prestasi cemerlang dalam edisi temasya sebelumnya.

Namun beberapa jam sebelum aksi penentuan detik emas dan perak itu bermula, beliau menerima berita buruk. Ujian air kencingnya positif dadah.

Rosman terpaksa menarik diri dan hasrat merangkul emas pertama dalam temasya dwitahunan itu berkecai. Hatinya luluh namun akur dengan takdir. Beliau mengaku pada waktu berkenaan tidak mengambil berat aspek sains sukan dan ada memakan ubat batuk yang mungkin memberi kesan kepada keputusan ujian.

“Keadaan kecoh dan media Filipina buat tajuk besar kejadian itu sedangkan saya tiada ambil bahan terlarang. Bila balik ke Malaysia segelintir orang pandang negatif. Ada tuduh saya ini penagih dadah,” katanya.

Akibatnya, Rosman dilarang menyertai kejohanan selama dua tahun. Hukuman diburukkan lagi dengan tanggapan masyarakat. Pada saat itu, bapanya Allahyarham Alwi Ahmad menenangkan hati Rosman.

“Bapa kata ini ujian sebelum jadi juara,” imbau Rosman yang dilatih bapanya sejak berusia 13 tahun. Pada waktu itu, Alwi melatih pasukan lebuh raya Selangor. Rosman sebenarnya bermula dalam kategori itu sebelum beralih ke acara pecut.

Berazam untuk bangkit, bekas atlet berusia 61 tahun itu tanpa membuang masa berlatih dengan bapanya. Laluan sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur yang menjadi tempat berlatih dengan basikal berharga RM800 dibelinya.

Berbeza dengan rakan senegara serta lawan dari negara lain, mereka berlatih di luar negara dan menggunakan basikal berharga ribuan ringgit. Mujur pada waktu itu, Majlis Sukan Negara (MSN) membenarkan Rosman menggunakan gimnasium untuk menguatkan otot.

Bekas pelumba trek negara, Rosman Alwi ketika memenangi pingat emas di kejohanan Sukan Sea Jakarta.

Emas sulung

Dalam tempoh itu, Rosman diberi gelaran ‘Mbak Speda’ kerana kedegilan ketika berlatih bersungguh-sungguh. Usahanya berbaloi apabila menyumbang emas pertama dalam acara kegemarannya pada Sukan SEA 1985 di Bangkok, Thailand.

Kejayaan itu mempunyai cerita sendiri. Rosman bertanding dalam keadaan menahan sakit selepas menjalani pembedahan hernia (angin pasang). Mulanya ada nasihat supaya beliau menarik diri tetapi Rosman enggan.

“Sebelum pertandingan akhir bermula, saya pesan kepada bapa supaya tangkap di garisan penamat kerana mungkin saya pengsan.

“Ketika pertandingan saya pecut daripada mula. Tidak sedar pun lepasi garisan penamat. Bila sedar sudah dalam ambulans, saya tanya menang ke? Bapa peluk dan beritahu saya menang, melompat saya,” cerita Rosman.

Bapa lima anak itu mencapai kemuncak karier sebagai pelumba apabila dinobatkan raja pecut Asia pada Kejohanan Basikal Asia 1987 di Bangkok, Thailand. Dengan basikal harga RM800 itulah Rosman menjadi individu pertama Asia Tenggara menewaskan pelumba profesional dari Jepun, China dan Korea Selatan.

“Masa saya menang semua pelumba dari Asia Tenggara julang saya kerana berjaya menewaskan pelumba Asia dari blok bahagian sana, tidak pernah dalam sejarah ia berlaku.

“Saya hanya berlatih di sekitar Taman Melawati sedangkan orang lain berlatih sehingga ke Australia,” katanya yang memberitahu basikal itu kini digunakan Sani Sudin daripada kumpulan Kopratasa untuk pameran.

Kemenangannya itu mengubah kehidupannya. Daripada dipandang rendah kerana skandal dadah enam tahun sebelumnya, muncul wira negara di pentas dunia.

Dunianya ibarat selebriti pada waktu itu. Hendak makan di gerai atau restoran pun tidak senang. Pasti ada peminat menegur dan hendak bergambar termasuk golongan wanita yang menyebabkan isterinya, Rafidah Abu Samah cemburu.

Bekas pelumba trek negara, Rosman Alwi ketika ditemubual Selangorkini di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Layak ke Olimpik

Namun populariti sedikit pun tidak menghanyutkannya. Rosman mempamer aksi cemerlang dan terus menyumbang emas kepada negara pada pelbagai kejohanan serta melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada 1984 dan 1988.

Bagi pemenang lima pingat emas Sukan SEA, pengajaran daripada peristiwa skandal dadah di Manila pada 1981 itu memberi iktibar supaya berwaspada terhadap ujian seperti yang pernah dipesan bapanya.

“Bila fikir semula saya sebenarnya tidak perlu terlalu sedih pada waktu itu kerana saya masih muda, saya buktikan mampu untuk bersaing walapun berlatih dalam serba kekurangan. Tetapi pengalaman ayah benar-benar membantu.

“Saya juga belajar sebelum makan sebarang ubat kena minta nasihat daripada pakar, tidak lagi mahu berulang kejadian hitam sama,” katanya yang bersara pada 2001 selepas membantu kontinjen negara di Sukan SEA di Kuala Lumpur.

Keputusannya untuk ‘menggantung basikal’ pada usia 41 tahun dibuat atas nasihat bekas ketua pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan Ahmad yang menasihatkannya bersara pada kemuncak karier.

Sebelum bersara, Rosman sempat mengikuti kursus kejurulatihan dan memperoleh sijil peringkat dua sains sukan dikeluarkan United States Sport Academy dan MSN, namun nasibnya sebagai jurulatih tidak seperti pelumba basikal.

Rosman yang pernah dinobat Olahragawan Kebangsaan 1985 bagaimanapun enggan mengungkit. Sekadar mengatakan mungkin belum ada rezekinya sebagai jurulatih. Namun, beliau ada mendapat tawaran sebagai perunding bagi membantu pasukan sebuah negeri.

Semangat cinta akan sukan basikal tidak pernah pudar. Jauh di sudut hati, beliau mahu melihat lebih ramai jaguh basikal bagi menggantikan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang.

“Bagi saya kegilaan orang ramai untuk berkayuh basikal pada masa ini harus dimanfaatkan, anjurkan lebih banyak kejohanan untuk kita cungkil bakat baharu.

“Di luar negara boleh dikatakan tiap-tiap minggu ada kejohanan dan sebab itu dapat cari pelapis. Saya yakin kita boleh dapat bakat baharu sekiranya buat langkah sama,” katanya.


Pengarang :