Penyanyi Roy Alwi ketika ditemu bual SelangorKini pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Roy jalan kaki 20km untuk menyanyi, dihalau dari rumah sewa

Setiap kali muncul video muzik lagu patriotik di kaca televisyen, pastinya ia diiringi suara ‘jantan’ yang membakar semangat supaya penonton mencintai tanah air.

Itulah kelebihan vokal penyanyi Roy Alwi yang jarang ada pada penyanyi masa kini. Lontaran suaranya yang mantap tidak pernah gagal membawa rasa mahu membela nusa dan bangsa.

Wartawan Nadiah Zamlus menemu bual penyanyi yang mula mencipta nama pada dekad 1990-an dengan lagu Ratnaku ketika sesi rakaman Senandung Aidilfitri pada 30 Mac lepas.

Wajahnya tenang, tersenyum sepanjang wawancara. Tetapi sesekali pemilik suara lagu Ratnaku ini termenung panjang.

“Nak tahu, dahulu saya pernah hidup susah. Hari-hari makan sardin dalam tin. Yang paling murah pula tu,” kata Roy yang menceritakan penglibatannya pada peringkat awal dalam industri muzik pada lewat 1980-an.

Dia pernah berjalan hampir 20 kilometer (km) ke tempat persembahan demi mencari rezeki kerana tiada kenderaan. Pahanya terasa hendak tanggal lantaran terlalu letih.

“Dulu hidup miskin, miskin, sangat-sangat miskin. Pernah dihalau dari rumah sewa.

“Pernah satu ketika saya mencari rezeki berjalan 15 batu, bukan kilometer, dari Cheras ke Bangsar sebab nak buat show dekat nightclub (kelab malam). Hanya rasa peha macam nak tertanggal, hidup memang sangat susah,” katanya.

Beliau bekerja di kelab malam secara sampingan pada waktu itu. Bukannya tidak mahu cari kerja tetap namun rezeki lebih banyak datang melalui vokal miliknya. Roy pernah dihalau ketika mahu minta kerja sebagai pembantu stesen minyak.

“Saya ke sana (stesen minyak) minta kerja. Tapi kena halau. Sampai sekarang saya sendiri tidak faham kenapa dihalau,” katanya yang masih sedih mengingati kenangan pahit berkenaan.

Penyanyi Roy Alwi ketika ditemu bual SelangorKini pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sewa bilik kecil

Ketika itu Roy atau nama penuhnya Mohammad Rauzan Alwi tinggal di Cheras, telah berkahwin dan memiliki seorang anak. Pengorbanan isterinya yang sanggup bersusah payah pada waktu sukar cukup mencengkam jiwanya. Mereka sekeluarga hanya menyewa bilik kecil di belakang rumah kedai. Tidurpun berlapik tilam nipis.

Walau tiada kelengkapan cukup untuk menyanyi dan membuat persembahan, Roy tidak putus asa. Ada kalanya dia meminjam baju dan alatan muzik daripada kawan-kawan semata-mata mahu meneruskan hidup. Bakat kurniaan Allah SWT tidak disia-siakannya. Namun kenangan yang payah ditelan itulah menjadi saat sejarah kehidupan yang itu amat dihargainya.

“Bila ingat kenangan dalam keadaan susah, saya sangat hargai. Sebab saat itulah yang mengajar saya erti hidup,” katanya yang kini berusia 58 tahun.

Selain kelab malam, Roy sering menjadi penyanyi sokongan di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Antaranya menggantikan penyanyi utama tidak hadir pada saat-saat akhir sebelum persembahan bermula. Mampu menyanyikan lagu dalam pelbagai genre muzik membuatkan dia mudah dipanggil penerbit RTM.

Memasuki dekad 1990-an, nama Roy kian dikenali, khususnya selepas keluar daripada kumpulan Lefthanded. Ketika bergerak solo, album pertama berjudul Diari Mimpi (1989). Pada 1990, dia pernah dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular untuk Anugerah Bintang Popular (kini Anugerah Bintang Popular Berita Harian).

Album kedua, Nekad pula terbit pada tahun 1990 diikuti album bertajuk Roy pada 1993.Ketika itu, lagunya Ratnaku melonjak sehingga melayakkan diri ke Juara Lagu 1993 (kini Anugerah Juara Lagu).

Nyanyi depan Putin

Suara yang lunak dan maskulin menjadi sebab anak kelahiran Muar, Johor ini lebih sinonim dengan lagu-lagu patriotik. Antara lagu dendangannya ialah Malaysia Kita Berjaya, Malaysiaku Gemilang, Wawasan 2020, 1Malaysia, Perpaduan Teras Kejayaan dan Negaraku Yang Tercinta.

Lebih membanggakan, Roy diberi penghormatan membawa lagu Bersatu Selamanya untuk Sukan Komanwel ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya berkenaan pada 1998.

Jelas Roy, lagu patriotik memerlukan penghayatan dan teknik nyanyian tersendiri supaya mesej dapat disampaikan dengan berkesan. Bukan semua penyanyi mampu membawakan lagu genre itu dengan baik. Ia antara faktor mengapa industri ketandusan bakat pelapis untuk mengetengahkan lagu patriotik.

“Saya memang berharap akan ada penyanyi lain yang boleh menyanyikan lagu patriotik dengan baik, namun masih belum menemui yang bersesuaian,” katanya.

Selain memerlukan teknik pernafasan yang betul, lagu patriotik turut menuntut kemampuan menyanyi dalam nada tinggi tanpa mengetepi aspek penghayatan.

Bakat nyanyian Roy turut membolehkannya menjelajah dunia. Bersama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), dia ke beberapa negara sebagai ‘duta kecil’ Malaysia membuat persembahan untuk menyanyikan lagu patriotik. Antara kenangan lain diingatinya, pernah membuat persembahan di hadapan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

“Waktu itu abang nyanyi lagu patriotik dalam bahasa Rusia, itu antara pemimpin dunia yang pernah abang hiburkan,” katanya.

Penyanyi Roy Alwi ketika ditemu bual SelangorKini pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pemuzik jalanan

Pada 2012, Roy dilantik sebagai felo Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tugasnya sebagai guru vokal dan mengajar teknik menyanyi terhadap pelajar dan kakitangan universiti. Selain diberi tanggungjawab mengajar, dia juga perlu menghasilkan buku. Terlintas di hati, untuk membukukan kisah penyanyi jalanan.

Jelasnya, ramai beranggapan pemuzik jalanan bertaraf rendah. Ada juga keliru mengatakan kumpulan berkenaan umpama minta sedekah. Ada juga pertikai adakah mereka benar-benar pejuang muzik.Bagi membetulkan kembali tanggapan masyarakat, Roy mahu buku berkenaan dihasilkan. Malah dia sendiri nekad bermain muzik di jalanan bagi mendapatkan fakta lebih tepat.

Langit tidak selalu cerah. Pada 2018 kontrak Roy di universiti berkenaan tidak lagi disambung. Impiannya untuk menghasilkan buku tidak kesampaian. Namun minatnya untuk menghiburkan orang ramai tidak pernah padam. Walaupun hasrat menghasilkan buku tidak kesampaian, minat untuk membuat persembahan jalanan diteruskan.

Tanpa berselindung, beliau mengaku ketika mula-mula membuat persembahan di jalanan memang terbit rasa malu dalam dirinya.

“Masa itu ramai confuse (keliru), sebab orang ingat saya artis besar. Tiba-tiba berubah nyanyi tepi jalan. Ada juga yang menangis bila nampak saya.

“Pernah selepas menyanyi, saya bawa bekas duit keliling meja. Mula-mula berat hati sebab tidak pernah buat macam tu. Tetapi sebab fikirkan keluarga dan ini tanggungjawab, saya tawakal sahaja. Asalkan saya tidak menipu orang,” katanya sambil tersenyum.

Pada 2021, Roy sekali lagi melalui pengalaman pahit apabila disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh. Sudahpun pulih daripada wabak berkenaan, tetapi kesannya masih ada. Dia sendiri menunjukkan kesan-kesan parut di tangannya.

“Selepas baik daripada Covid-19, badan saya sering gatal-gatal. Itu kesannya lepas saya pulih,” katanya.

Pengalaman demi pengalaman banyak mengajar bapa tiga anak itu menghargai kehidupan. Kini dia lebih tenang menjalani kehidupan di Banting, Selangor. Tidak terlalu kesah sama ada dijemput atau tidak ke persembahan. Dia hanya mengikut rentak semasa.

“Kalau ada orang jemput, saya datanglah. Jika tiada, tak mengapa. Tapi baru-baru ini Kerajaan Negeri ada jemput saya menyanyi untuk Senandung Aidilfitri.

“Alhamdulillah, dapat juga tambah pendapatan,” katanya yang menyanyikan lagu Lenggang Mak Limah untuk program hiburan raya anjuran Kerajaan Negeri.


Pengarang :