Antara kediaman yang rosak teruk akibat dilanda ribut kuat di Tanjong Karang pada 10 Mei 2022. Foto Facebook Abdah Nordin
SELANGOR

Rugi hampir RM25,000 selepas ribut badai rumah baru siap diubah suai

TANJONG KARANG, 11 MEI: Baru sahaja mengeluarkan perbelanjaan hampir RM25,000 bagi mengubah suai rumah sebelum sambutan Aidilfitri, Kamsiah Sanusi, 65, tidak menyangka beliau perlu mengeluarkan lagi modal untuk membaiki rumahnya yang rosak akibat dilanda ribut dan angin kencang awal pagi tadi.

“Baru sahaja habis baiki bahagian hadapan rumah dua hari sebelum hari raya, tidak sangka pula atap dapur rumah diterbangkan angin ribut pagi tadi,” luahnya sebak.

Mengimbas kembali kejadian hujan lebat berserta angin ribut sekitar 2 pagi, Kamsiah berkata insiden kira-kira satu jam itu disifatkan antara yang terburuk pernah dialami beliau dan juga jiran-jirannya di kawasan Kampung Sawah Sempadan serta kampung berdekatan antaranya Kampung Sungai Burong dan Kampung Sungai Sireh.

“Masa kejadian memang saya bersama emak yang uzur sedang tidur. Tiba-tiba angin yang sangat kuat berserta hujan datang tanpa henti. Emak ketika itu tidur berdekatan dengan bahagian atap dapur yang diterbangkan angin.

“Saya segera dapatkan emak dan pindahkan beliau ke hadapan dan hanya mampu berpelukan dua beranak berharap angin tersebut cepat reda. Air pun sudah mula memenuhi ruang rumah sehingga paras buku lali,” katanya.

Kamsiah berkata dianggarkan lebih 10 rumah penduduk di kampung itu terjejas susulan kejadian berkenaan dengan kebanyakannya rosak pada bahagian bumbung rumah.

Seorang lagi penduduk, Mahadi Hasmeon, 56, berkata beliau tidak menyangka kejadian angin ribut berserta hujan itu akan menimpa rumahnya kerana selama ini hanya dialami oleh jiran kampungnya.

“Sepanjang hayat saya di sini, ini pertama kali atap rumah pusaka ibu saya diterbangkan angin, namun ia tidak seteruk rumah orang lain,” katanya.

Sementara itu, Salleh Mustaram, 86, berkata kejadian hujan ribut awal pagi tadi disifatkan terburuk baginya kerana hanya atap bahagian dapur rumah sahaja yang tinggal untuk mereka sekeluarga kekal berteduh.

“Ketika ribut itu saya memang dengar bunyi hujan lebat dan tanpa disedari atap bahagian hadapan dan tengah rumah kesemuanya telah diterbangkan angin kuat betul-betul di sebelah rumah. Hanya tinggal siling sebagai pengganti atap sebelum ia bocor kerana hujan lebat.

“Buat masa ini saya, isteri yang sedang terlantar dan dua anak tinggal di bahagian dapur yang masih elok, namun berharap agar malam ini tidak hujan kerana tidak ingin perkara yang lebih buruk terjadi,” katanya.

Awal pagi tadi tular di akaun Facebook I Love Tanjong Karang berhubung kejadian hujan lebat serta ribut dan angin kencang dengan penduduk tempatan berkongsi gambar dan video keadaan rumah mereka yang rosak susulan insiden berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :