Pengunjung mengambil juadah apam balik yang dihidangkan ketika Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor di Terminal Bas Bandar Melawati, Kuala Selangor pada 20 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Rumah terbuka Aidilfitri medan himpun rakyat, nikmati juadah kegemaran

KUALA SELANGOR, 21 MEI: Penganjuran program Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor menjadi medan terbaik untuk menyatupadukan masyarakat berbilang bangsa di negeri ini.

Pengunjung, A Thurairaj, 43, mengakui seronok bertemu dan meraikan perayaan itu bersama kenalan pelbagai kaum selepas dua tahun tidak berbuat demikian akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, acara diadakan di setiap daerah itu memberi peluang buatnya untuk merasai sate yang merupakan juadah kegemaran setiap kali lebaran.

A Thurairaj. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya berpuas hati dengan program ini kerana berlangsung meriah selain dapat berkumpul dengan kawan-kawan daripada kaum lain sambil menikmati pelbagai makanan dihidangkan.

“Sejurus tiba, saya segera mencari sate kerana ia menu kesukaan saya. Mujur ada walaupun dihadkan empat batang setiap seorang disebabkan pengunjung ramai,” katanya ketika ditemui di Terminal Bas Bandar Melawati di sini semalam.

Pereka grafik sambilan Tan Kang Wait, 31, pula teruja melihat ribuan pengunjung hadir meskipun dianjurkan pada hari bekerja.

Tan Kang Wait. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya memang sudah lama menanti majlis seperti ini kerana ia boleh merapatkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat perpaduan antara kaum.

“Hari bekerja pun ramai orang, apatah lagi jika dibuat pada waktu malam. Mungkin bertambah meriah majlis ini,” katanya.

Seorang lagi pengunjung yang mahu dikenali sebagai Nurul, 41, gembira kerana berpeluang merasai kembali kemeriahan rumah terbuka seperti kelaziman sebelum era pandemik Covid-19.

“Kebetulan majikan beri pelepasan kepada semua kakitangan untuk hadir ke sini bagi memeriahkan acara, jadi saya tidak lepaskan peluang ini.

“Seronok sangat sebab boleh jumpa semula kawan lama dan makan juadah raya bersama-sama,” katanya.

Rumah terbuka secara besar-besaran melibatkan sembilan daerah membuka tirai pada 15 Mei di Hulu Selangor dan berakhir di Petaling dan Klang hari ini.

Rumah terbuka Petaling diadakan di Padang Awam MBSJ Puchong Indah mulai 2.30 hingga 5.30 petang manakala Klang pula bermula 8 hingga 11 malam di Dataran Kompleks Sukan Pandamaran.

 


Pengarang :