Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pengunjung dan penyanyi Siti Nordiana dalam Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Terminal Bas Bandar Melawati, Kuala Selangor pada 20 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Rumah terbuka Kuala Selangor meriah, lebih 5,000 tetamu berbilang bangsa hadir

KUALA SELANGOR, 20 MEI: Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Terminal Bas Bandar Melawati di sini, petang ini, berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung berbilang bangsa.

Program bermula jam 3 petang diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim, Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Raiz Radzuan, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat dan Orang Besar Daerah Kuala Selangor Mohamad Yaacob Ismail.

Amirudin ketika berucap memaklumkan Kuala Selangor adalah daerah keenam bagi penganjuran program yang bertujuan meraikan penduduk selepas dua tahun tidak dianjur secara besar-besaran akibat kekangan pandemik Covid-19.

“Walaupun dibuat pada hari bekerja, kita dapat lihat rakyat berpusu-pusu hadir dan beratur seawal jam 2.40 petang untuk menikmati juadah dan bertemu rakan-rakan

“Kerajaan Negeri berterima kasih kepada pegawai daerah, YDP pihak berkuasa tempatan dan ketua-ketua jabatan yang berjaya menganjurkan majlis ini. Diharap ia merapatkan silaturahim antara pimpinan negeri, daerah dan setempat serta rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak selain beramah mesra dengan pengunjung.

Tetamu dihidangkan dengan aneka juadah antaranya nasi impit, sate, rendang, ayam golek, kuey tiaw, mi jawa, kuih-muih, apam balik, pulut hitam dan ais batu campur.

Penyanyi Siti Nordiana tampil menghiburkan pengunjung dengan lagu Hari ini Hari Raya, Bersyukur di Hari Raya dan Angkara.

Rumah terbuka secara besar-besaran melibatkan sembilan daerah membuka tirai pada 15 Mei di daerah Hulu Selangor dan berakhir di Petaling dan Klang, esok.

Rumah terbuka Petaling diadakan di Padang Awam MBSJ Puchong Indah mulai 2.30 hingga 5.30 petang, manakala di Klang pula bermula 8 hingga 11 malam di Dataran Kompleks Sukan Pandamaran.


Pengunjung terdiri pelbagai bangsa menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Terminal Bas Bandar Melawati, Kuala Selangor pada 20 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :