Calon Timbalan Presiden KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution berucap dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Melawati, Kuala Selangor pada 15 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Saifuddin: KEADILAN pasti bangkit dari kekalahan, tiada laluan mudah untuk BN

GOMBAK, 17 MEI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sentiasa bangkit dari kekalahan berdasarkan pengalaman parti berkenaan, kata calon timbalan presidennya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail secara tegas menolak tanggapan kekalahan dalam siri pilihan raya negeri menunjukkan laluan mudah untuk Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu itu menegaskan kekalahan berturut-turut di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor banyak memberi pengajaran kepada parti.

“Kita pernah rasa banyak kalah daripada menang. Setiap kali kalah, kita bangun dengan lebih bergaya.

“Walaupun orang berasa kalah itu gelapnya malam tetapi saya katakan bila malam makin pekat, itu petanda fajar makin dekat, ada cahaya,” katanya dalam program Rapat Mega Cabang Gombak bersekali rumah terbuka Aidilfitri di sini malam tadi.

Dalam Pemilihan KEADILAN pada kali ini, beliau berdepan saingan Rafizi Ramli bagi jawatan nombor dua parti.

Saifuddin juga memaklumkan KEADILAN dijangka menyelesaikan rundingan kerusi dalam Pakatan Harapan selepas proses pemilihan parti selesai.

“Kita akan lakukan semakan, persiapkan parti melalui dasar yang disusun secara analisis data yang menjadi kekuatan selama ini.

“Malah, kita akan susun dan tapis calon-calon berpotensi yang ada dan terbaik untuk memberi khidmat pada rakyat,” katanya.


Pengarang :