Petugas kesihatan mengambil sampel darah ketika program Selangor Saring di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chih, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 22 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Saringan kesihatan percuma di Sabak Bernam Sabtu ini

KUALA SELANGOR, 26 MEI: Program Selangor Saring bagi memeriksa tahap kesihatan penduduk negeri ini secara percuma diteruskan di Sabak Bernam Sabtu ini.

EXCO kesihatan berkata program akan berlangsung di Dewan Tun Razak, Sabak Bernam bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak dan Sungai Air Tawar manakala untuk DUN Sungai Panjang di Dewan Simpang Lima, Sungai Besar.

“Penduduk sekitar disaran memanfaatkan peluang ini bagi mengetahui tahap kesihatan masing-masing. Sekiranya berpenyakit, kita bantu mereka dapatkan rawatan susulan.

“Jangan risau sekiranya tidak ada telefon pintar atau aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat). Petugas akan bantu daftarkan secara manual,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Sementara itu beliau mengingatkan pusat khidmat atau wakil rakyat untuk menganjurkan program di tempat sesuai bagi memudahkan proses saringan.

“Ijok pilih dewan sekolah. Proses berjalan lancar kerana kemudahannya lengkap. Kita minta semua DUN untuk menilai lokasi untuk kelangsungan program,” katanya.

Sebanyak RM3.4 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program Selangor Saring yang menumpukan pengesanan penyakit seperti jantung, kencing manis, kanser dan glaukoma.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program itu dijangka memanfaatkan 39,000 rakyat Selangor terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :