EXCO Generasi Muda dan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berucap pada sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama YsukuRiders yang diadakan di Bukit Rahman Putra pada 14 Mei 2022. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor anjur program permotoran dan muzik, kenal pasti bakat baharu

SUNGAI BULOH, 14 MEI: Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan mensasarkan penganjuran program permotoran dan muzik pada tahun ini.

Pengerusinya Mohd Khairuddin Othman berkata mereka menjangkakan dua program berkenaan dapat dijalankan sebelum hujung tahun ini yang mana kini dalam proses perangkaan.

“Permotoron ini melibatkan belia bermotosikal dan berkereta di mana kita akan libatkan mereka dengan promosi pelancongan di daerah tertentu di Selangor.

“Termasuk juga penganjuran sukan motosikal seperti drag, kita akan kenal pasti lokasi dan anjurkan sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan nanti,” katanya.

Mengenai muzik, Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras itu berkata pihaknya mahu mencungkil bakat baharu dalam bidang seni dengan kaedah jelajah ke daerah.

“Kita mahu cungkil bakat belia kita dalam muzik dengan kita akan panggil artis-artis lama untuk sama-sama lihat bakat baharu yang ada di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama YsukuRiders yang diadakan di Bukit Rahman Putra di sini hari ini.

Program bermula jam 11 pagi dan tamat pada jam 5 petang itu juga dimeriahkan dengan kehadiran hampir 1,000 penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari seluruh negara.

 


Pengarang :