AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor cadang mansuhkan beg plastik tiga tahun lagi

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan Selangor bercadang memansuhkan penggunaan beg plastik di semua premis jualan di negeri itu sepenuhnya pada 2025.

EXCO alam sekitar berkata bagaimanapun inisiatif itu bergantung sekiranya mempunyai kaedah lain lebih sesuai bagi menggantikan bahan berkenaan.

“Kita cadang mansuhkan penggunaan beg plastik pada 2025 dan gantikan dengan penggunaan bahan lain yang sesuai sama ada beg kitar semula atau kertas.

“Kita juga menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerap menganjurkan kempen kesedaran beg plastik dan alam sekitar kepada masyarakat,” kata Hee Loy Sian kepada SelangorKini.

EXCO Kerajaan Negeri Hee Loy Sian bercakap kepada media ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada masa sama beliau menyeru orang awam membawa beg sendiri ketika membeli-belah bagi memastikan alam sekitar sentiasa terjaga di samping menjimatkan belanja.

“Kita amat menggalakkan masyarakat berbuat begitu ketika membeli-belah kerana ia lebih jimat berbanding anda membayar 20 sen untuk satu plastik, itu baharu satu jika lebih? Ia amat merugikan,” katanya.

Pada 27 September tahun lalu, Loy Sian memaklumkan kadar caj beg plastik 20 sen dikuat kuasa di Selangor bakal dinaikkan sekiranya kempen sejak beberapa tahun lalu itu gagal mencapai matlamat.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti jumlah kutipan setiap tahun sebelum menukar polisi caj bayaran.

Bermula Januari 2017, peniaga di Selangor tidak menyediakan beg plastik percuma dan diarah menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polisterina di semua premis.


Pengarang :