Sebahagian sisa buangan yang terdapat didalam kontena ketika liputan menghantar semula sisa plastik kepada pengeksport di Pelabuhan Barat pada 7 Jun 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor garis lima ketetapan operasi proses plastik kitar semula, elak pencemaran

SHAH ALAM, 19 MEI: Kerajaan Negeri meluluskan lima ketetapan berhubung operasi kilang dan premis memproses sisa plastik kitar semula di Selangor dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri ke-11/2022 baru-baru ini.

EXCO alam sekitar berkata dengan adanya ketetapan itu, operasi penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih tegas termasuk larangan pemberian permit import sisa pembuangan dari luar negara ke kilang atau premis di Selangor.

Jelas Hee Loy Sian, walaupun aktiviti mengimport dan menjalankan perniagaan sisa plastik berpotensi menyumbang kepada pendapatan negeri, Kerajaan Negeri perlu mengambil kira aspek pengurusan sisa berkenaan bagi mengelakkan pencemaran yang boleh mengganggu ekosistem manusia dan alam sekitar.

“Kerajan Negeri memandang serius akan isu perubahan iklim (climate change) dan pemanasan global yang semakin kerap berlaku dan usaha-usaha melestarikan alam sekitar perlu dipergiatkan lagi.

“Sebagai sebuah negeri maju, pembangunan ekonomi harus diseimbangkan dengan perlindungan alam sekitar untuk memastikan kelestarian dan kesejahteraan masyarakat seperti mana yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari – Sustainable Development Goals,” katanya.

Berikut adalah dasar berhubung pengoperasian kilang dan premis memproses sisa plastik kitar semula di Selangor:

– Tidak membenarkan pengimportan sisa plastik kitar semula bagi tujuan pemerolehan kembali atau pelupusan akhir bagi semua kilang yang menjalankan proses kitar semula plastik

– Lesen perniagaan baharu bagi kilang-kilang plastik kitar semula tidak akan dipertimbangkan dan diluluskan oleh pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT)

– Semakan semula setiap lima tahun perlu dibuat bagi permohonan lesen perniagaan baharu kilang-kilang plastik kitar semula

– Kilang-kilang sedia ada yang mempunyai lesen perniagaan yang sah boleh terus beroperasi, tertakluk kepada syarat-syarat Jawatankuasa Teknikal EIA, PBT dan syarat-syarat tambahan yang lain

– Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan hendaklah melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu dengan menjalankan pemeriksaan yang lebih teliti bagi memastikan prosedur dan peraturan dipatuhi.


Pengarang :