Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Dato’ Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun menukar dokumen selepas menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Usahasama Tanaman Jagung Bijirin Menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 18 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor, Negeri Sembilan jalin kerjasama usahakan tanaman jagung bijirin

SHAH ALAM, 18 MEI: Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS bagi kerjasama tanaman jagung bijirin.

Perjanjian yang disaksikan Dato’ Menteri Besar ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Pegawai Kewangan Negeri Sembilan merangkap Pengarah Urusan MBINS Dato’ Mohd Khidir Majid.

Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapan berharap kerjasama kedua-dua negeri mampu menyelesaikan isu kenaikan harga makanan ayam sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap jagung bijirin import.

“Insya-Allah usaha ini akan berterusan dan kita mendoakan agar menghasilkan sesuatu yang baik demi kepentingan bersama.

“Kita akan berusaha menjadikan Selangor tahan uji dari segi bekalan makanan, apatah lagi kita penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terbesar dalam negara,” katanya.

Pemeteraian MoU berlangsung di Wisma PKPS, Seksyen 14 di sini yang turut disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Hadir sama EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Dato’ Bakri Sawir.


Pengarang :