Selangorkini
Dato’ Meteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Pelancaran Selangor Mega Job Fair di Unisel, Shah Alam pada 12 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor sasar kadar pengangguran bawah tiga peratus tahun ini

SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan Selangor menyasarkan kadar pengangguran negeri bawah tiga peratus tahun ini, seperti yang dicapai pada suku keempat 2021.

Dato’ Menteri Besar yakin angka itu mampu dicapai melalui penganjuran Karnival Kerjaya Mega pada Jun ini yang menawarkan lebih 20,000 peluang kerja dalam pelbagai sektor.

“Kita sentiasa meletakkan sasaran bawah empat peratus. Pada suku keempat tahun lepas, (kadar pengangguran) mencapai 2.9 peratus, namun suku pertama tahun ini meningkat kepada 3.2 peratus.

“Bagaimanapun, angka itu masih lagi selesa dan kita akan cuba kurangkan sedikit lagi. Mungkin tiga atau 2.9 peratus sebagaimana dicapai baru-baru ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Selangor Mega Job Fair dan portal selangorjobportal.com.my di Dewan Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam di sini hari ini.

Turut hadir, EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman dan Presiden serta Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Dalam pada itu, Amirudin berkata karnival kerjaya pada 11 dan 12 Jun di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka peluang kerja dari peringkat sijil hingga ijazah sarjana muda.

Beliau menambah peserta boleh mendaftar awal untuk menghadiri temu duga melalui portal yang dilancarkan bagi mengelak kesesakan dan beratur panjang.

“Di situ nanti menghimpunkan semua majikan dan perniagaan yang memerlukan pekerja. Malah ada beberapa syarikat akan perkenalkan konsep temu duga secara terus pada hari tersebut,” katanya.


Pengarang :