Rakan pengurusan The Hive Southeast Asia Dato’ Syed Haizam Jamalullail dan pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit, Dr Fahmi Ngah (empat dari kanan) bersama Memorandum Persefahaman yang ditandatangani di Palo Alto, Amerika Syarikat pada 16 Mei 2022. Foto ihsan SSDU
AGENSISELANGOR

Selangor, The Hive kerjasama bangun syarikat teknologi kecerdasan buatan

SHAH ALAM, 20 MEI: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan The Hive Southeast Asia (THSEA) menjalin kerjasama bagi membuka syarikat pemula berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) di negeri ini.

Persetujuan itu dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengarah Urusan SSDU Dr Fahmi Ngah dan rakan pengurusan THSEA Dato’ Syed Haizam Jamalullail pada Sidang Kemuncak Tahunan The Hive 2022 di Palo Alto, Amerika Syarikat pada 16 Mei lalu.

Ia disaksikan oleh EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dr Nor Fuad Abdul Hamid serta Pengasas dan Pengarah Urusan The Hive LLC TM Ravi.

Menurut Syed Haizam Jamalullail, kerjasama itu membuktikan kemampuan SSDU sebagai pengurus program Negeri Pintar sekali gus meningkatkan ekosistem bidang berkenaan di rantau Asia.

Dr Fahmi pula berkata usaha itu membawa semula amalan dan teknologi terbaik untuk membangunkan lebih banyak syarikat berasaskan AI serta mewujudkan ekonomi mampan di Selangor.

“Kerjasama ini hasil usaha berterusan bagi membina Negeri Pintar menerusi perkongsian dengan rakan serantau dan antarabangsa,” katanya.

Menerusi kerjasama itu, SSDU dan THSEA akan membangunkan inisiatif Smart Selangor Digital sekali gus memastikan program negeri mencapai matlamatnya menjelang 2025.

THSEA adalah cawangan ketiga The Hive LLC di Lembah Silikon Amerika Syarikat selepas Brazil dan India.


Pengarang :