Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima kunjungan hormat Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko di pejabatnya pada 11 Mei 2022. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Selangor, Tokyo setuju kukuh hubungan dua hala, kebudayaan

SHAH ALAM, 11 MEI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan komitmen untuk mengukuhkan hubungan  kebudayaan antara Selangor dan Tokyo menerusi penganjuran pelbagai acara.

Amirudin berkata persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dengan Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko di pejabatnya di sini, hari ini.

“Saya amat berbesar hati menerima kunjungan Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko dan ia memberi peluang untuk kami membincangkan pelbagai isu semasa tempatan dan serantau.

“Kami juga bersetuju untuk mengukuhkan hubungan kebudayaan dengan penganjuran pelbagai acara dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Selain itu, beliau berkata walaupun Selangor dan wilayah Tokyo dipisahkan oleh Laut China Selatan serta Lautan Pasifik, masih terdapat banyak persamaan antara kedua-duanya.

“Antaranya sebagai hab ekonomi penting negara selain cabaran dalam berdepan dengan bencana alam dan perubahan iklim serta peningkatan jumlah warga tua,” katanya.

Amirudin berkata, beliau turut berkongsi pendekatan yang dilaksanakan oleh Selangor untuk mengurangkan kesan perubahan iklim termasuk pelan jangka panjang bagi memastikan negeri ini terus berdaya saing untuk rakyat dan golongan peniaga.


Pengarang :